suria

Fernando Alonso Beri Indikasi Mahu Bersara & Kekecewaannya Boleh Difahami

Fernando Alonso kini tidak dapat menyembunyikan lagi kekecewaannya.

PEMANDU F1 untuk pasukan Mclaren, Fernando Alonso memberi indikasi yang dia mungkin akan bersara kerana kecewa dengan situasi yang sedang dihadapinya sekarang.

Juara dunia dua kali itu beralih dari Ferrari ke McLaren kerana percaya yang pasukan dari Itali itu gagal menyakinkannya bahawa jentera baru mereka bagi musim ini mampu menjadikannya juara semula.

Sebaliknya, selepas dia menyertai McLaren, Ferrari telah kembali memberi saingan sengit untuk muncul juara semula musim ini dengan Sebastian Vettel memenangi GP Malaysia dan kini merupakan pencabar utama kepada Lewis Hamilton dan Nico Rosberg yang mewakili Mercedes-Petronas.

Pada tahun 2008, selepas meninggalkan McLaren untuk menyertai Renault, orang yang mengantikan tempatnya, Lewis Hamilton muncul juara dunia.

"Oleh yang demikian, kekecewaannya boleh difahami oleh kita semua kerana dia tidak dapat apa yang dia mahukan daripada pasukan barunya itu. Sudah dua kali pasukan yang ditinggalkannya kemudian muncul sebagai pesaing utama dan ini memang mengecewakannya...jadi situasi ini kita semua boleh faham," ujar bekas rakan sepasukan Alonso, Nelson Piquet Jr.

Nelson pernah berlumba bersama Alonso untuk pasukan Renault pada 2008 dan 2009.

Alonso, 33, setakat ini masih belum berupaya untuk memperolehi walau satu mata pun sama ada untuk dirinya mahupun pasukannya McLaren, selepas empat perlumbaan selesai.

Ini adalah penyertaan kali kedua Alonso bersama McLaren selepas menghabiskan lima musim yang penuh kekecewaan dengan Ferrari. Dia mengharapkan untuk muncul juara kali ketiga bersama Ferrari tetapi impian tersebut tidak menjadi kenyataan.

"Apatah lagi anda pernah menjadi juara dunia dua kali tetapi kini berada di tempat ke sembilan atau sepuluh dalam setiap perlumbaan," kata Piquet Jr lagi.

Alonso yang telah menandatangani kontrak tiga tahun dengan McLaren hanya mampu tamat di kedudukan ke-12 dan ke-11 dalam dua perlumbaan yang disertainya.

Dia terlepas perlumbaan pembukaan di Australia selepas terlibat dalam kemalangan semasa sesi latihan beberapa minggu sebelum itu yang mengakibatkan gegaran pada otaknya.

McLaren yang menyedari kekecewaan Alonso menegaskan yang mereka telah pun membuat beberapa perubahan pada jentera mereka dan bersedia untuk memberikan yang terbaik pada GP Sepanyol 10 Mei ini.


Artikel Lain