SEMUA perlawanan bola sepak di Sepanyol mungkin akan digantung bermula akhir bulan ini berikutan mogok yang dijalankan. Penggantungan perlawanan bola sepak di Sepanyol ini akan menjejaskan perlawanan liga Sepanyol dan Piala Raja Sepanyol pada minggu-minggu terakhir musim 2014/2015. Masih terdapat tiga lagi perlawanan liga bagi musim ini dan Barcelona masih mengungguli kedudukan liga dengan dua mata di hadapan pencabar utama, Real Madrid. Barcelona juga akan berdepan pasukan Athletic Bilbao bagi Piala Raja Sepanyol yang akan berlangsung pada 30 Mei. Kesemua perlawanan yang akan berlangsung pada tarikh mogok dimulakan, 16 Mei akan digantung termasuk juga perlawanan akhir yang akan diadakan di Camp Nou pada penhujung bulan ini. Undang-undang untuk menggantung kesemua perlawanan tersebut telah dipersetujui dan disokong liga bola sepak profesional. Perlaksanaan undang-undang tersebut untuk mewujudkan tahap permainan yang lebih baik bagi dua liga tertinggi di Sepanyol dengan berkongsi wang tunai hasil penyiaran perlawanan di televisyen dengan lebih saksama. Walau bagaimanapun, presiden Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF), Angel Maria Villar serta kesatuan pemain menentang peraturan baru dan kedua-dua organisasi telah memberi sokongan dalam menghentikan semua perlawanan bola sepak di Sepanyol. Pihak RFEF menentang undang-undang tersebut kerana percaya ia akan mengambil beberapa kuasa daripada persatuan itu dan juga berang dengan kenyataan mengenai perbelanjaan yang dibuat menggunakan duit hasil bola sepak Sepanyol untuk aktiviti yang tidak berkaitan dengan sukan tersebut. Menurut wakil RFEF, sebanyak 17 persekutuan di negara itu akan terjejas dengan penggantungan perlawanan yang dibuat termasuk 600,000 pemain serta 30,000 perlawanan. "Pihak kami akan mengemukakan tawaran yang sama kepada kerajaan Sepanyol untuk menyelesaikan isu ini," kata wakil tersebut. Perlawanan yang melibatkan pasukan Barcelona dan Real Madrid pada minggu ini tidak akan terjejas berikutan penggantungan tersebut. Tetapi perlawanan yang mungkin menentukan juara liga di antara Barcelona dan Atletico Madrid di Vicente Calderon pada 17 Mei mungkin akan terjejas.