suria

Liga Perdana: N.Sembilan Dan P.Pinang Seri 2-2

SEREMBAN: Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berkongsi satu mata apabila seri 2-2 pada perlawanan Liga Perdana di Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), di sini malam Jumaat.


Pertemuan kedua-dua pasukan berkenaan sepatutnya berlangsung di STAR pada 12 April lepas, namun terpaksa dibatalkan berikutan hujan lebat.


Dalam aksi malam ini, Pulau Pinang mengejutkan tuan rumah yang dikenali sebagai NS Matrix, menerusi gerakan solo Mohd Faiz Subri yang berjaya memperdayakan pertahanan lawan sebelum menjaringkan gol pada minit ke-12.


Skuad bimbingan K. Devan cuba bangkit, namun penyudah yang tumpul oleh penyerang mereka diketuai Francis Forkey Doe mensia-siakan peluang yang terhidang.


Pada minit ke-37, pasukan pelawat hampir menambah jaringan, tetapi percubaan Lee Gil Hoon dalam kotak penalti sedikit tersasar.

Babak kedua menyaksikan NS Matrix mengatur serangan dalam usaha mendapatkan gol.


Pada minit ke-57, pasukan tuan rumah berjaya menyamakan kedudukan apabila sepakan lambung S. Sivanesan di luar kotak penalti, menerjah gawang.

NS Matrix hampir menambah jaringan pada minit ke-69, namun sepakan leret pemain gantian Rudie Ramli dari luar kotak penalti ditepis keluar penjaga gol Pulau Pinang Sani Anuar Kamsani.

Seorang lagi pemain gantian tuan rumah K. Thanabalan turut mensia-siakan peluang menjaringkan gol pada minit ke-82.
Asakan bertali arus NS Matrix membuahkan hasil apabila K. Thanabalan bijak memanfaatkan hantaran Francis pada minit ke-89 untuk meletakkan tuan rumah di hadapan.


Ketika perlawanan seakan berpihak kepada NS Matrix, Mohd Faiz menjadi pemusnah apabila menjaringkan gol penyamaan akibat kelekaan benteng pertahanan tuan rumah pada minit-minit akhir perlawanan.
Liga Perdana

Artikel Sebelum

Keputusan Kejuaraan

Artikel Berikut

Artikel Lain