suria

Chelsea Tak Akan Buat Rombakan Besar Untuk Musim Depan - Mourinho

Jose Mourinho. Foto AFP

CHELSEA tidak akan membuat rombakan besar dalam skuad pemainnya untuk musim depan.

Dilaporkan bahawa perkara itu disahkan oleh pengurus, Jose Mourinho bahawa juara Liga Perdana Inggeris tidak akan membuat banyak perubahan dalam barisan pemainnya walaupun dia dijanjikan dengan dana yang besar untuk perpindahan bagi menguatkan pasukan.

"Apa yang paling penting adalah memperkuatkan skuad, memperkukuhkan barisan pemain yang sedia ada," katanya dipetik oleh The Independent.

"Dalam skuad sebelum ini saya mempunyai pemain yang begitu mudah untuk dijual dan mendapat wang daripada urusan itu. Dalam skuad kali ini saya tidak mempunyai pemain seperti itu, baik saya mahupun kelab. Kami tidak menjual banyak pemain," katanya.

Mourinho berpendapat bahawa semua pemain dalam skuadnya mempunyai peranan yang penting.

Oleh itu katanya, dia melihat rombakan besar bukan satu keperluan untuk kelab tersebut membuat persiapan menghadapi musim depan.

Bagaimanapun, pengurus kelahiran Portugal itu mengakui kemungkinan adanya sedikit perubahan terutama dari segi pertukaran posisi pemain.

"Adalah jelas kami akan berusaha untuk mempertingkatkan kekuatan skuad dan akan ada pertukaran posisi pemain muda. Skuad kami pada musim depan akan menyamai dengan sekarang, dan beberapa pemain baharu," katanya.

Pengurusan Chelsea mungkin akan melanjutkan kontrak Mourinho yang hanya berbaki dua tahun sahaja lagi. 

Namun, Mourinho menegaskan bahawa ia bukan keutamaan baginya pada masa ini.

"Saya tidak perlu kontrak. Saya berpendapat bahawa Roman Abramovich (pemilik kelab Chelsea) seharusnya sangat selesa kerana mempunyai saya dalam kelabnya.

"Saya mahu di sini (Chelsea), saya tidak mahu pergi. Saya tidak minta kontrak baharu atau kontrak lebih baik. Saya sangat selesa. Dia (Abramovich) tak perlu bimbang, dia memiliki saya dalam kelab dia," jelas Mourinho.


Chelsea, Jose Mourinho

Artikel Lain