BINTANG tenis Britain, Andy Murray merekodkan kemenangan pertama ke atas Rafael Nadal di gelanggang tanah liat untuk bergelar juara Madrid Masters selepas mencatat 6-3 6-2 di Sepanyol awal pagi Isnin. Juara bertahan, Nadal atau lebih dikenali dengan ‘Raja Tanah Liat’ apabila menggondol gelaran Terbuka Perancis sebanyak 9 kali dengan menguasai gelanggang tanah liat lebih sedekad lalu tidak mampu berkata apa-apa ke atas kemenangan Murray ini. Murray mempelbagaikan corak permainan sekaligus gagal memberi jangkaan tepat kepada Nadal. Malah ia merupakan satu kejutan buat Murray yang sebelum ini gagal menundukkan bekas pemain No.1 dunia itu dalam enam pertemuan di gelanggang tanah liat sejak perlawanan sulung di Hamburg pada tahun 2008. “Bermain dengan Rafa di Sepanyol merupakan satu cabaran hebat, tetapi sebab itulah kita bermain tenis. “Menewaskan Rafa merupakan sesuatu yang amat sukar, tetapi saya gembira kerana dapat berbuat demikian hari ini. Penghargaan buat pasukan saya yang membuat persiapan rapi untuk perlawanan gelanggang tanah liat ini. “Dan untuk Rafa, saya pasti dalam tempoh dua minggu ini kamu akan kembali bangkit sebelum Roland Garros (Terbuka Perancis) dan saya juga pasti kita akan terus bertemu pada perlawanan akan datang,” jelas Murray. Sebagai rekod, Nadal merupakan juara kejohanan ini sebanyak empat kali dan hanya tewas kepada pemain yang lebih baik tahun ini. “Kamu melalui musim yang baik. Tahniah Andy. Kamu lebih baik dari saya hari ini. Semoga berjaya untuk Roland Garros,” kata Nadal ringkas. Dalam pada itu, Murray yang berada di ranking ketiga dunia turut mencatat kejayaan pertama dalam karier profesionalnya apabila meraih trofi juara di gelanggang tanah liat pada Terbuka Munich minggu lalu.