suria

Pacquiao Kembali Ke Filipina Selepas Pembedahan Bahu

MANILA: Manny Pacquiao menolak untuk menjawab soalan mengenai perlawanan semula menentang Floyd Mayweather selepas pulang ke Filipina pada Rabu.

Pacquiao, 36, menjelaskan buat masa ini, dia hanya mahu pulih daripada kecederaan bahu kanan yang dialaminya.

"Untuk masa kini saya tidak mahu bercakap mengenai perlawanan semula bersama Mayweather atau perlawanan saya yang seterusnya.

"Fokus saya adalah untuk pulih daripada kecederaan," kata Pacquiao.
|
Pacquiao yang digelar 'Pacman'  merupakan hero di Filipina, tewas kepada Mayweather dalam perlawanan yang dianggap terbesar abad ini untuk kejuaraan welterweight di Las Vegas pada 2 Mei lalu.

Pacquiao dan pasukannya berpendapat kecederaan yang dialami menyukarkan petinju itu untuk melaksanakan pelan permainan yang telah dirancang.

Bekas juara dunia itu telah menjalani pembedahan bahu di Amerika Syarikat dan dilihat memakai pendakap lengan semasa ditemuramah.

Pacquiao berkata pembedahan yang dilakukan berjalan dengan lancar dan dia perlu berehat selama enam bulan.

"Doktor menjelaskan saya akan pulih 100 peratus," katanya.

Mayweather dilihat seperti tidak menerima alasan Pacquiao yang tewas kepadanya apabila menyiarkan gambar di laman sosial Instagram dengan kapsyen "19 tahun dalam sukan tinju dan saya mempunyai satu prinsip: 'Jangan beri alasan', Juara akan menang dan yang tewas akan sentiasa memberi alasan".

Pacquiao telah berkhidmat selama dua penggal dalam badan perundangan Filipina dan mungkin akan bertanding untuk jawatan Senat.

Pengurusnya berpendapat Pacquiao mungkin akan bertanding untuk jawatan Presiden pada masa hadapan.

Walau bagaimanapun, Pacquiao menjelaskan dia tidak pernah terfikir untuk menjadi presiden negara itu.

Petinju itu juga berkata, isterinya tidak mahu dia berkhidmat dalam perundangan kerana dia tidak akan dapat meluangkan banyak masa bersama keluarganya.

Satu perarakan akan diadakan di Manila untuk meraikan kepulangan Pacquiao.

Manny Pacquiao

Artikel Lain