KUALA LUMPUR: Peralihan pimpinan tertinggi dan pengurusan hoki negara pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM), Rabu ini diharap mampu menyediakan cerita baharu yang lebih menarik memandangkan majoriti yang terpilih mempunyai latar belakang terbaik serta berpengalaman. Dalam pemilihan itu, Datuk Seri Subahan Kamal dipilih untuk menggantikan jawatan utama Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) yang disandang Tengku Muda Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang melepaskan jawatan berkenaan bagi memberi perhatian kepada komitmen lain. Tengku Abdullah yang memegang jawatan presiden sejak 2008 juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Exco Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) bagi benua Asia. Perubahan dilihat bukan sahaja kepada posisi utama MHC, tetapi jawatan eksekutif lain turut menyaksikan muka baharu terutamanya bagi jawatan timbalan presiden apabila presiden Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) George Koshy yang menewaskan Naib Presiden Kanan, Datuk Nur Azmi Ahmad dengan kelebihan tiga undi selepas mengumpul 16 undian. Manakala jawatan naib presiden bagi wanita pula dipegang oleh Dr S.Shamala (17 undi) yang mengetepikan pencabar utama, K.Maheswari (12). Subahan yang juga Presiden Persatuan Hoki Selangor (PHS) serta bekas naib presiden FAM mengakui tugas di MHC ini bukan mudah memandangkan banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Kewangan Masalah tunggakan hutang MHC tidak perlu diselindung lagi dan ia antara cabaran utama Subahan sebaik sahaja bergelar presiden. "Sebelum ini Tuanku (Tengku Abdullah) ada memberitahu akan membantu menyelesaikan hutang dan saya sangat menghargai tawarannya. Namun saya sedar kini ia sesuatu yang perlu dilihat sebagai tanggungjawab saya. "Kami akan cuba mencari jalan untuk sama-sama menyelesaikan masalah ini kerana saya yakin MHC kini mempunyai ‘good team’ dan sebab itulah saya diletakkan di sini. "Secara keseluruhan saya sangat gembira dengan pemilihan ini yang masing-masing telah menunjukkan sokongan padu dan bersemangat untuk membuat perubahan dalam MHC," jelasnya. Kedudukan jurulatih dan pasukan Mengenai kedudukan jurulatih, Subahan memberitahu, keputusan itu akan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa kali kedua pada 30 Mei ini. "Saya sudah bertemu dengan jurulatih Tai Beng Hai dan Steven ven Huizen dan minggu depan saya akan bertemu dengan pemain-pemain untuk mendapatkan gambaran lebih jelas sebelum membuat sebarang keputusan. "Kita akan hadapi Kelayakan Olimpik bermula 20 Jun ini dan kalau nak buat apa-apa keputusan, ia perlu ditelitikan. Dari segi persiapan, skuad hoki negara telah pergi ke Belanda dan saya sudah dapat laporan aksi di sana," jelasnya mengenai kedudukan jurulatih. Selain itu Subahan turut mengumumkan untuk bertemu bahagian pengurusan sebelum membuat pengumuman mengenai jawatankuasa-jawatankuasa berkaitan. "Dalam pada itu, dengan persetujuan semua saya akan menjadi pengerusi kewangan dan pasukan negara. Manakala peneraju jawatankuasa-jawatankuasa lain akan diumumkan secepat mungkin," ujarnya. Hala tuju MHC Jelas Subahan, sebagai presiden, keutamaannya adalah memberi sokongan penuh kepada pasukan hoki negara. "Bukan untuk menang pingat atau piala tetapi untuk MHC kerana jika pasukan cemerlang, sudah pasti MHC akan lebih baik. Namun ia bukan tugas mudah kerana kami masih baharu di sini walaupun pasukan negara sudah menjalani persediaan yang baik. "Sebelum ini Tuanku ada menyebut GST (give some time) dan kami harap diberi peluang untuk menunjukkan tahap yang berbeza. "Jika ditanya mengenai sasaran, sudah tentu tumpuan saya adalah untuk layak ke Sukan Olimpik 2020 di Jepun, namun dalam pada itu akan cuba layak bagi Sukan Olimpik di Rio tahun depan. "Itu adalah perancangan masa panjang. Sebalik kami ada juga perancangan jangka pendek. Selepas beberapa mesyuarat nanti, saya akan dedahkan segala hala tuju MHC dengan lebih jelas. "Apa yang penting sekarang, kami perlukan sokongan daripada semua pihak dan berharap badan-badan korporat sama-sama tampil membantu pasukan hoki negara. "Suka atau tidak, bagi acara berpasukan, hanya sukan hoki sahaja yang mempunyai masa depan cerah untuk membawa nama Malaysia ke Piala Dunia dan Sukan Olimpik," jelas Subahan yang menjadi presiden ke-6 MHC. Barisan Kepimpinan Eksekutif MHC 2015-2018. Presiden: Datuk Seri Subahan Kamal Timbalan Presiden (lelaki): George Koshy Timbalan Presiden (wanita): Dr S. Shamala Naib Presiden: Datuk Wan Ahmad Nizam Abd Hamid , Datuk Ow Soon Kooi, Nik Zarah Nik Abdul Kadir, .S. Satish Kumar, Majid Manjit Singh, Datuk Radhakrishnan Nair, S. Nagula