suria

Pahang Tempah Tiket Ke Pusingan Kedua Piala AFC

Pasukan Pahang mara ke pusingan kedua walaupun terikat seri tanpa jaringan.

KUALA LUMPUR: Pahang mengesahkan slot ke pusingan kedua (16 terakhir) Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) walaupun terikat tanpa jaringan menentang wakil Filipina, Global FC pada aksi terakhir kumpulan G di Stadium Philippine Sports, Filipina, malam Rabu.

Keputusan itu sudah memadai untuk skuad Tok Gajah mengiringi juara kumpulan G, South China dari Hong Kong yang mengekalkan rekod tanpa dalam enam perlawanan menerusi kejayaan menundukkan pasukan tercorot dari Myanmar, Yadanarbon FC 3-0 pada satu lagi aksi di tempat lawan.

South China muncul juara kumpulan dengan kutipan 18 mata manakala Pahang muncul naib juara setelah mengumpul lapan mata daripada enam perlawanan.

Pada aksi malam Rabu, yang disiarkan secara langsung oleh sebuah televisyen berbayar tempatan, Pahang nyata mendominasi sebahagian besar babak pertama namun gagal menemui sentuhan jaringan sehingga berakhirnya separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Global FC mengubah corak permainan dengan kerap mengasak kubu skuad Tok Gajah namun dihampakan oleh ketangkasan penjaga gol Pahang, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat perlawanan.

Pahang dijangka berdepan tugas sukar menentang juara kumpulan E, Persipura Jayapura dari Indonesia pada aksi pusingan kedua yang menggunakan format kalah mati di tempat lawan pada 26 Mei ini.

Satu lagi wakil negara, Johor Darul Ta'zim (JDT) yang muncul juara kumpulan F bakal melayan kunjungan naib juara kumpulan H, Ayeyawady United FC dari Myanmar di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, selang sehari kemudian.

Pahang, AFC

Artikel Berikut

AFC Gantung Alex Soosay

Artikel Lain