KUALA LUMPUR: Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada Rabu menggantung sementara Setiausaha Agungnya, Datuk Alex Soosay bagi menyiasat kebenaran dakwaan media berhubung audit dalaman badan itu pada 2012. AFC dalam kenyataan ringkas dalam laman web rasminya, www.the-afc.com., berkata tugas Soosay telah digantung manakala badan itu akan menyiasat dakwaan terhadapnya. "Sebuah kenyataan video yang dirakamkan sebagai sebahagian daripada siasatan FIFA diberikan kepada media baru-baru ini dan AFC kini telah dapat mengesahkan kesahihannya," katanya. Berikutan tindakan itu, timbalan setiausaha agung AFC, Datuk Windsor John akan mengambil alih sementara tugas Soosay manakala siasatan dalaman sedang dijalankan. Isu tersebut tercetus apabila akhbar tempatan berbahasa Inggeris, Malay Mail menerusi laporannya pada 25 April lepas mendakwa setiausaha agung itu cuba 'mengubah atau menyembunyikan' dokumen semasa audit dalaman badan itu pada 2012 yang mencetuskan dakwaan amalan rasuah oleh presiden AFC ketika itu, Mohammad Hammam.