KOTA BARU: Kejayaan Kelantan melangkah ke final Piala FA merupakan hadiah buat peminat The Red Warriors (TRW) yang sentiasa memberi sokongan padu buat pasukan, kata Ketua Jurulatih Kelantan Mohd Azraai Khor Abdullah. Beliau berkata, kemenangan itu ditujukan kepada penyokong yang sentiasa membakar semangat pemain ketika TRW dalam keadaan susah serta goyah terutama dalam mengharungi saingan Liga Super 2015. "Syukur doa penyokong, kami dapat mara ke final...satu kemenangan yang begitu bermakna. "Mereka (penyokong) sentiasa memberi sokongan ketika pasukan dalam keadaan terumbang-ambing, ini satu penawar dan pembangkit semangat buat pemain," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar sejurus selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di sini, Sabtu malam. Katanya kekuatan mental dan fizikal pemain merupakan kunci kejayaan pasukan TRW bangkit daripada kekalahan 1-0 kepada Pahang pada separuh akhir pertama di Kuantan, 9 Mei lepas. "Mereka sudah berjanji untuk berjuang habis-habisan dan mereka (Pahang) bermain dengan 10 pemain, jadi kami perlu manfaatkan kelebihan itu," katanya. Mohd Azraai Khor berkata strateginya membawa masuk pemain import dari Nigeria, Austin Amutu pada minit-minit akhir perlawanan ternyata memberi keputusan positif buat TRW. "Taktikal kami berhasil, kalau dilihat pada akhir perlawanan, kami ada enam penyerang dalam padang...Alhamdulillah, apa yang dirancang menjadi," katanya. Sementara itu, jurulatih Pahang Zainal Abidin Hassan berkata beliau berpuas hati dengan persembahan anak didiknya meskipun gagal ke perlawanan akhir. "Kemasukan Amutu memang mengubah pasukan Kelantan, kami terima kekalahan meskipun perit...tahniah kepada Kelantan, nasib tidak menyebelahi kami, fokus utama Pahang sekarang adalah Piala Konfederasi Asia (AFC)," katanya. Kelantan, juara pada 2012 dan 2013, meraih kemenangan selesa 3-1 pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Baharu, malam tadi. Kemenangan tersebut membolehkan Kelantan mara ke pentas final buat kali kelima dengan agregat 3-2. Bekas juara dua kali itu akan bertemu wakil Singapura, Lions XII pada final Piala FA 2015 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 23 Mei ini.-- Bernama