KUALA LUMPUR: Sasaran skuad olahraga pada Sukan SEA di Singapura akan ditentukan dan diumumkan oleh Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Robert J.Ballard dalam masa terdekat. Presiden KOM Datuk Karim Ibrahim berkata beliau tidak mahu campur tangan soal meletakkan sasaran dan hal itu hanya akan ditentukan oleh Ballard. "Skuad olahraga ke Singapura dilihat bakal membuat persembahan yang lebih baik berbanding Sukan SEA di Myanmar, dua tahun lepas, dengan adanya Ballard dalam skuad kita. "Jadi Ballard akan umumkan sasaran kita nanti. Beliau yang paling layak kendalikan perkara ini. Dengan adanya beliau, kita patut lebih baik daripada sebelumnya...empat pingat emas di Myanmar, kita jangkakan yang lebih baik tahun ini," katanya kepada pemberita selepas majlis Prapelancaran Larian KL Marathon Standard Chartered, Isnin. Larian KL Marathon yang dijangka disertai 35,000 pelari dari seluruh dunia itu dijadual berlangsung pada 4 Okt di Dataran Merdeka. Ditanya jumlah keseluruhan skuad olahraga ke Singapura pada Jun ini, Karim berkata sehingga kini pihaknya sudah memilih 35 atlet untuk mewakili Malaysia ke temasya dwitahunan itu. "Kami akan muktamadkan jumlah keseluruhan skuad olahraga selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Perak pada 23 dan 24 Mei ini," katanya.