Azraai yang memulakan karienya sebagai jurulatih bersama skuad Piala Presiden Kedah pada tahun 1991 berjaya membawa pasukan Pantai Timur yang dikenali ‘The Red Warriors’ ke pentas akhir Piala FA selepas mengambil alih daripada George Boateng pada 24 Mac lalu.
“Ini merupakan aksi final yang kesepuluh saya sebagai jurulatih dan hanya sekali gagal menjulang juara ketika tahun 2004 bersama Kedah.
“Dan jika menang, secara peribadi ia juga trofi kesembilan saya keseluruhan termasuk juara treble musim 2006, juara Piala Malaysia dan Liga Super (2007) ketika bersama Kedah, manakala juara Piala Malaysia dengan Negeri Sembilan (2011).
"Kalau jadi juara tahun ini, impian saya akan jadi kenyataan,” jelas jurulatih kelahiran Kedah berusia 62 tahun ini.
Menurut Azraai, perlawanan akhir ini juga bakal mencatat rekod kemenangan ketiga pasukan Kelantan di pentas akhir Piala FA selepas bergelar juara 2012 dan 2013.
“Walaupun pasukan Lions dianggap sebagai ‘underdog’, mereka sebenarnya mempunyai kelebihan tersendiri dari segi kecergasan.
"Mungkin mereka skuad pembangunan, tetapi harus ingat rata-rata anak buah Fandi Ahmad itu adalah pemain-pemain muda Singapura.
“Memang rekod perlawanan sebelum ini berpihak kepada kita, tetapi ia telah berlalu dan kami tidak boleh berpuas hati dengan rekod kemenangan itu.
“Kami akan bekerja keras cuba mencari kemenangan dalam tempoh 90 minit dan cuba mengelak bermain dalam aksi penalti,” katanya.
Kelantan mara ke pentas akhir buat kali kelima selepas 2009,2011,2012 dan 2013 dengan menewaskan Pahang secara agregat 3-2.