KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih Lions XII, Fandi Ahmad melarang pemain-pemainnya daripada membaca akhbar menjelang perlawanan akhir Piala FA bertemu Kelantan pada Sabtu ini. Larangan tersebut bagi memastikan pemain-pemainnya tidak hilang fokus dengan laporan yang disiarkan di dada akhbar. "Saya pasti menjelang perlawanan akhir pelbagai laporan dibuat sama ada positif atau negatif mengenai pasukan. "Pemain-pemain saya merupakan pasukan pembangunan yang masih muda dan belum banyak terdedah dengan situasi perlawanan akhir. "Jadi saya menasihatkan mereka kalau nak baca surat khabar, selepas perlawanan,” jelasnya pada sidang media pengurus pasukan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Jumaat. Mengenai perlawanan akhir nanti, Fandi mengakuinya skuadnya sebagai ‘under dog’ berbanding pasukan Kelantan yang sudah banyak kali beraksi di pentas akhir. “Berdasarkan rekod perlawanan sebelum ini, memang kelebihan kepada Kelantan tetapi ia tidak menghalang kami untuk bermain bermati-matian perlawanan akhir nanti. “Sudah tentu kami akan bekerja keras serta berwaspada malah mencipta sesuatu dalam tempoh 90 minit dan tidak ada penalti. “Apa yang penting sekarang pemain-pemain perlu fokus dan cuba mengaplikasikan segala strategi yang diajar ketika sesi latihan. Dalam perlawanan, segalanya terpulang kepada pemain untuk melakukan yang terbaik di atas padang. “Harap-harap semua pemain muda ini dapat mencipta sejarah buat kali pertama. Walaupun sedar perlawanan bukan mudah dengan penampilan pemain import oleh pasukan lawan, tetapi segala akan terjawab pada aksi final nanti,” tambah jurulatih berusia 52 tahun ini. Lions XII mara ke final Piala FA buat kali pertama bertemu bekas juara 2012 dan 2013 selepas mencatat kemenangan secara agregat, 4-4 kelebihan gol di tempat lawan.