suria

Cub Prix: Fazrul Tamatkan Kemarau Tiga Tahun Tanpa Gelaran Juara

KUALA TERENGGANU: Ahmad Fazrul Sham akhirnya berjaya menamatkan kemarau tiga tahun tanpa sebarang gelaran juara dalam kelas perdana CP130 setelah muncul juara pada Pusingan 4 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Kompleks Sukan Negeri Gong badak, Terengganu pada Sabtu.

Pelumba Yamalube AHM itu mempamerkan peningkatan ketara pada perlumbaan kali ini di mana dia berjaya berjaya mencatat masa terpantas pada sesi Superpole sekaligus  memulakan perlumbaan dari petak pertama dengan mengetepikan trio Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing, Mohd Hafiz Nor Azman, Mohd Zamri Baba dan Norizman Ismail yang menguasai sesi ujian masa pada Jumaat.

Fazrul menamatkan 18 pusingan perlumbaan dengan masa 12'31.675s, 0.499s di hadapan Zamri yang muncul naib juara manakala turut berada di atas podium ialah abang Fazrul, Ahmad Fazli Sham yang menamatkan perlumbaan dengan masa 12'38.066s sekalipun sekadar bermula dari petak ke-10.

Mengulas tentang kemenangannya, Fazrul berkata, kunci utama kemenangan hari ini adalah kerja berpasukan dan komunikasi yang baik yang ada dalam pasukan kami.

"Selepas beberapa pusingan, akhirnya kami menemui formula tepat untuk digunakan ke atas jentera bagi mendapatkan kelajuan dan juga pelarasan yang terbaik.

"Saya kembali menemui keserasian bersama jentera Yamaha setelah beralih dari jentera Honda yang digunakan pada musim lepas. Ia membantu saya untuk memberi maklum balas yang tepat kepada pasukan, malah mereka juga mempercayai maklum balas yang saya berikan dan menggunakannya ke atas jentera.|

'Hasilnya, catatan masa masa semakin baik dalam setiap sesi latihan sehingga ke perlumbaan akhir. Malah, pasukan juga bekerja keras dalam setiap pusingan. Kami mencuba banyak peralatan baru sepanjang tiga pusingan lepas dan hasilnya mula kelihatan ketika di Muar dimana saya dapat menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat.

"Meskipun begitu, ini bukan prestasi maksimum yang kami mampu tunjukkan. Masih banyak perkara yng boleh dipertingkatkan terutama dari segi saya sendiri yang masih belum 100 peratus menguasai jentera ini. 

"Saya berharap pencapaian ini tidak berhenti setakat ini dan saya berazam untuk menaiki podium lagi pada pusingan akan datang," jelas Fazrul yang kini naik ke tangga kelima keseluruhan dengan 45 mata.

Dalam pada itu, kedudukan di tempat ketiga cukup buat Fazli untuk terus kekal mendahului kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 64 mata namun diberikan cabaran oleh Zamri di kedudukan kedua dengan 60 mata.

Rakan sepasukan Zamri, Elly Idzlianizar Ilias yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima berada di tangga ketiga dengan 53 mata.

Sementara itu, kepantasan Kasma Daniel Kasmayudin semakin sukar digugat apabila pelumba itu mudah melintasi garisan penamat bersendirian setelah berjaya mendahului perlumbaan sejak pusingan pertama meskipun pada satu ketika ketinggalan di kedudukan kedua sebaik pelumba-pelumba dilepaskan.

Dibantu oleh kepantasan jentera pasukan PETRONAS Yamaha Maju Motor, Kasma yang bermula dari petak pertama menamatkan 15 pusingan keseluruhan dengan masa 10'40.676s manakala Ahmad Abdul Kadir (Motul Yamaha YY Pang) menaiki podium buat pertama kali pada musim ini dengan berada di tangga kedua dan rakan sepasukan, Tengku Amirul Haffirudin ketiga, masing-masing dengan masa 10'42.135s dan 10'42.266s.

"Kemenangan ini sebenarnya bukan satu kemenangan mudah buat saya meskipun selesa mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat. Pada peringkat awal, saya ketinggalan kepada Ahmad dan cuba mencari ruang untuk memintasnya semula sehingga sedikit kesilapan yang dilakukan Ahmad membuka ruang untuk saya berada di hadapan.

'Malah dari awal lagi saya telah menjangkakan cabaran agak sengit setelah melihat jurang masa yang tidak banyak berbeza dilakukan oleh pelumba-pelumba ketika sesi kelayakan pada sebelah pagi," jelas Kasma Daniel.

Dua kemenangan berturut-turut selepas muncul juara pusingan lepas di Muar, Johor membantu Kasma Daniel untuk merampas kedudukan pendahulu dengan mengumpul 70 mata sambil Tengku Amirul turun ke kedudukan kedua dengan 66 mata. Pelumba Felda PB Racing, Mohd Fareez Afeez di kedudukan ketiga, 40 mata.

Dalam saingan Wira, Mohd Harith Farhan Baharin merealisasi impian untuk mengejar kemenangan hatrik di halaman sendiri setelah muncul juara dengan masa keseluruhan 8'42.452s.Pelumba Kozi Yam Honda Racing itu diberi tentangan sengit oleh Mohd Khairul Ikhwan Ajis (Espada William Racing) dan Saiful Izman Ahmad Zamani (Felda AFB Tech Cardinals Racing) pada peringkat awal perlumbaan namun kedua-dua pelumba tersebut terbabit dengan kemalangan pada pertengahan perlumbaan.

Insiden itu membuka peluang buat Harith untuk terus menjarakkan diri di hadapan sehingga ke garisan penamat manakala rakan sepasukan Khairul Ikhwan, Amirul Hakim Mohd Rizal berjaya menamatkan saingan di tangga kedua dengan masa 8'43.547s dan tempat ketiga milik Nazirul Izzat Mohd Bahauddin (elf Koyoko KC Racing) dengan masa 8'45.274s.

"Saya berterima kasih kepada seluruh pasukan yang bekerja keras menyiapkan jentera saya untuk menghadapi perlumbaan akhir. Lebih manis, saya berjaya meraih kemenangan hatrik di halaman sendiri, di hadapan keluarga, penyokong dan rakan-rakan saya sendiri di sini," jelas Harith.

Kemenangan ini meletakkan Harith terus selesa mendahulu senarai keseluruhan dengan 95 mata, 42 mata mendahului Saiful Izman di kedudukan kedua dengan 53 mata manakala Amirul Hakim ketiga dengan 46 mata.

Keputusan CP130

1.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 12’31.675s

2.Zamri Baba (Honda) 12’32.174s

3.Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 12’38.066s

4.Norizman Ismail (Honda) 12’40.125s

5.Elly Idzlianizar Ilias (Honda) 12’40.324s

Kedudukan Keseluruhan

1.Ahmad Fazli Sham (Yamaha) 64 mata

2.Mohd Zamri Baba (Honda) 60 mata

3.Elly Idzlianizar Ilias (Honda) 53 mata

4.Abdul Muhaimin Roslan 49 mata

5.Ahmad Fazrul Sham (Yamaha) 45 mata  

CP115

1.Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 10’40.676s

2.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 10’42.135s

3.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 10’42.266s

4.Azam Omar (Yamaha) 10’46.017s

5.Fareez Afeez (Yamaha) 10’46.130s

Kedudukan Keseluruhan

1.Kasma Daniel Kasmayudin (Yamaha) 70 mata

2.Tengku Amirul Haffiruddin (Yamaha) 66 mata

3.Fareez Afeez (Yamaha) 40 mata

4.Ahmad Abdul Kadir (Yamaha) 37 mata

5.Ahmad Syukran Aizat (Yamaha) 36 mata  WIRA

Final

1.Harith Farhan Baharin (Honda) 8’42.452s

2.Amirul Hakim Mohd Rizal (Yamaha) 8’43.547s

3.Nazirul izzat Mohd Bahauddin (Yamaha) 8’45.274s

4.Saiful Azhary Muhamad (Honda) 8’46.799s

5.Irfan Rosnizam (Yamaha) 8’47.054s

Kedudukan Keseluruhan

1.Harith Farhan Baharin (Honda) 95 mata

2.Saiful Izman Ahmad Zamani (Yamaha) 53 mata

3.Amirul Hakim MOhd Rizal (Yamaha) 46 mata

4.Nazirul Izzat Bahauddin ((Yamaha) 43 mata

5.Khairul Ikhwan Ajis (Yamaha) 38 mata

Artikel Lain