JOHOR BAHARU: Wakil kelab dari Myanmar, Ayeyawady United bakal berdepan situasi sukar apabila turun menentang pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang mempunyai kelebihan beraksi di halaman sendiri pada pusingan kalah mati Piala AFC 2015 pada Rabu. Ketua jurulatih Ayeyawady United, Marjan Sekulovski berkata JDT yang muncul juara kumpulan F, kini dianggap antara 10 pasukan terbaik Asia pada saingan Piala AFC dan ia memberi kelebihan kepada mereka pada perlawanan tersebut. Mengakui bahawa JDT kini berada pada prestasi terbaik, Sekulovski berharap pasukan tuan rumah itu akan melakukan kesilapan bagi memberi peluang kepada anak buahnya menjaringkan gol. "Saya hanya berdoa kepada Tuhan. Mereka (JDT) tidak pernah kalah di gelanggang sendiri sejak September 2013. "Saya melihat perlawanan mereka termasuk ketika bertemu Kitchee SC dan apa yang boleh saya katakan, itu adalah perlawanan terbaik setakat ini (dalam saingan Piala AFC)," katanya pada sidang media di Hotel Puteri Pacific, Selasa. Sepanjang kempen Piala AFC tersebut, skuad Harimau Selatan itu menampilkan aksi yang cukup mantap di gelanggang sendiri apabila memenangi ketiga-tiga perlawanan dengan menjaringkan sembilan gol dan hanya dibolosi satu gol. Sekulovski berkata lebih menyukarkan, beliau tidak dapat membariskan tujuh tonggak utamanya pada perlawanan itu, kerana empat pemain kini menjalani latihan bagi menghadapi Sukan SEA ke-28 di Singapura bulan depan, manakala tiga lagi menjalani latihan untuk pusingan Kelayakan Piala Dunia FIFA 2018, yang akan berlangsung akhir bulan ini. "Bagaimanapun, kami yakin dan tidak akan putus asa kerana tekanan lebih kepada JDT yang menjuarai Liga Super Malaysia tahun lepas," kata jurulatih dari Slovenia itu yang telah membimbing kelab berkenaan sejak tiga tahun lepas. Sementara itu, ketua jurulatih JDT Mario Gomez berkata selepas dua minggu menjalani latihan, beliau dapat memahami kekuatan pemainnya terutama selepas perlawanan terakhir mereka menentang Felda United, bulan lepas. "Saya belajar banyak perkara tentang mereka (pemain) daripada sesi latihanini dan kami berharap untuk mencatat kemenangan esok," katanya bahawa ini peluang terbaik mereka untuk mara ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC itu. "Jika kita kalah perlawanan tersebut, kita tidak boleh berpatah balik lagi," katanya. Mengulas mengenai Jorge Pereyra Diaz yang bakal kembali memperkuatkan pasukan JDT, Gomez berkata penyerang dari Argentina itu sudah pasti dapat meningkatkan jentera serangan pasukan berkenaan. "Beliau seorang pemain yang hebat. Sudah pasti, beliau dapat membantu pasukan pada perlawanan esok," kata bekas jurulatih Valencia dan Inter Milan itu.-BERNAMA