JURUCAKAP Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) menegaskan Presiden Sepp Blatter dan setiausaha badan induk itu, Jerome Valcke tidak dibabitkan dalam dakwaan siasatan rasuah ketika undian bagi Piala Dunia 2018 dan 2022. "Presiden dan setiausaha agung tidak terbabit dalam dakwaan ini," kata jurucakap, Walter De Gregoria dalam satu sidang media yang diadakan awal pagi Khamis. Jelasnya, undian untuk Kongres Fifa bagi pemilihan presiden untuk tempoh empat tahun akan tetap diteruskan seperti dirancang di Zurich, Jumaat ini. Badan induk bola sepak dunia itu menjadi tumpuan apabila tujuh pegawainya ditahan pada Rabu kerana disyaki terlibat dengan rasuah.