KUALA LUMPUR: Skuad bola jaring negara bermula dengan langkah kanan pada Sukan SEA 2015 selepas melakar kemenangan selesa 84-22 ke atas Myanmar dalam aksi pembukaan di Arena OCBC, Hab Sukan Singapura, Ahad. Tuan rumah, Singapura yang memburu pingat emas buat pertama kali dalam sukan berkenaan, mengalahkan Brunei menerusi keputusan 72-21 manakala Thailand menundukkan Filipina 62-22 dalam satu lagi aksi peringkat awal, demikian menurut laman sesawang Sukan SEA Singapura;www.seagames2015.com. Malaysia bakal berdepan Filipina, Singapura menentang Thailand manakala Brunei menghadapi Myanmar pada perlawanan kedua pusingan awal. Kesemua perlawanan akan berlangsung esok di venue yang sama. Enam negara menyertai acara bola jaring pada edisi ke-28 temasya dwitahunan itu iaitu Myanmar, Brunei, Filipina, Thailand, Malaysia dan Singapura selaku tuan rumah. Untuk rekod, ia merupakan kali kedua acara bola jaring dianjurkan selepas sukan itu diperkenalkan ketika Malaysia menjadi hos Sukan SEA pada 2001 yang menyaksikan mereka meraih emas menerusi kemenangan 53-42 ke atas Singapura di Stadium Juara, Bukit Kiara. -- BERNAMA