suria

Schneiderlin Idam Sarung Jersi United

Morgan Schneiderlin

MANCHESTER United dilihat sebagai pasukan yang menjadi pilihan pemain tengah Southampton, Morgan Schneiderlin walaupun beberapa kelab lain turut berminat mendapatkan khidmatnya.

Pemain berusia 25 tahun itu antara pemain yang konsisten dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) dan turut menarik minat Arsenal dan Tottenham Hotspur dalam tempoh 18 bulan lalu.

Laporan media Perancis menjelaskan, pemain tersebut berminat menyarung jersi United setelah kelab tersebut membuat pertanyaan untuk membawanya ke Old Trafford.

Southampton meletakkan nilai 25 juta pound (RM139.97 juta) untuk pemain kebangsaan Perancis itu tetapi United masih belum membuat bidaan rasmi.

Pasukan kendalian Louis Van Gaal berminat untuk mencari pemain bagi menggerakkan bahagian tengah dan walaupun Van Gaal meletakkan kepercayaan kepada Michael Carrick, United dilihat memerlukan suntikan tenaga memandangkan Carrick kini menjangkau usia 33 tahun.

Pemain-pemain seperti Kevin Strootman dari Roma yang baru pulih daripada kecederaan serta Ilkay Gundogan dari Borrusia Dortmund adalah antara calon yang akan menggantikan Carrick tetapi Schneiderlin telah membuktikan kemampuannya di EPL dan  berpengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.

Schneiderlin terlepas aksi pada penghujung musim akibat kecederaan lutut tetapi dijangka pulih sebelum musim 2015/2016 bermula.

Pemain yang menyertai Southampton pada 2008 itu berkata, dia akan menyertai kelab yang beraksi di Liga Juara-Juara (UCL) sekiranya membuat keputusan untuk berpindah.

"Ya, saya rasa keputusan sudah dibuat dan saya telah banyak belajar pada musim lalu.

"Matlamatnya adalah untuk kekal di England kerana ia merupakan liga yang saya minati dan seronok apabila beraksi.

"Sekiranya meninggalkan Southampton, ia untuk beraksi bersama kelab yang bertanding dalam UCL," katanya.

Kata Schneiderlin, perkara mengenai perpindahannya masih dalam perbincangan tetapi keputusan belum dicapai.

"Saya masih mempunyai baki dua tahun bersama kelab ini tetapi sekiranya ada kelab membayar jumlah yang betul, inilah masa untuk berpindah.

"Saya tidak tahu mengenai jumlah bayaran yang perlu dibuat tetapi saya tidak akan berpindah untuk jumlah yang kecil kerana Southampton merupakan kelab yang bijak dalam urusan perpindahan pemain," katanya lagi.

Pengurus Southampton, Ronald Koeman bersedia mendengar tawaran bagi mendapatkan khidmat pemainnya dan membincangkan mengenai beberapa pemain yang dilihat mampu menggantikan Schneiderlin seperti pemain Lille, Idriossa Gueye.


Artikel Lain