suria

Suku Akhir Terbuka Perancis: Djokovic Bertemu Nadal

PEMAIN tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic akan bertemu musuh tradisinya Rafael Nadal pada peringkat suku akhir Terbuka Perancis di Roland Garros selepas menundukkan Richard Gasquet pada Isnin.

Pemain kelahiran Serbia itu menunjukkan prestasi cemerlang semasa menentang Gasquet sebelum menewaskan lawannya itu dengan keputusan 6-1 6-2 6-3.

Sebaik sahaja melepaskan peluang 'break point' pada perlawanan kedua, Djokovic menunjukkan prestasi sebenar dan memenangi set pertama dengan mudah.

Dominasi pemain berusia 28 tahun itu berterusan ke set kedua dan ketiga serta tidak memberi peluang kepada Gasquet untuk menunjukkan kemampuannya dalam perlawanan yang berlangsung selama hampir dua jam.

Ini bermakna perlawanan yang dinanti-nantikan di antara Djokovic dan Nadal akan berlangsung di Roland Garros dan acara perseorangan lelaki kini bertukar kepada perlawanan lima set.

Pemain pilihan keenam, Nadal mara ke peringkat suku akhir selepas melepasi cabaran sukar daripada pemain Amerika berusia 22 tahun, Jack Sock.

Kali terakhir pertemuan antara Djokovic dan Nadal adalah pada kejohanan Masters Monte Carlo pada April - Djokovic memenangi perlawanan di gelanggang tanah liat itu.

Bagaimanapun Nadal masih memegang rekod 6-0 menentang Djokovic di Roland Garros dan menunjukkan tanda-tanda yang dia mampu mencapai kejuaraan kesepuluhnya bagi kejohanan ini.

Pemenang bagi perlawanan ini akan menerima saingan di antara pemain nombor tiga dunia, Andy Murray atau David Ferrer.


Roland Garros, Tenis

Artikel Berikut

Artikel Lain