REAL MADRID yakin David de Gea akan meninggalkan Manchester United untuk menyertai kelab mewah itu pada Julai ini. Daily Mail yang memetik sumber melaporkan, dua mesyuarat penting telah dilakukan pada minggu ini mengenai polisi pemindahan dan telah disahkan oleh Presiden Real Madrid, Florentino Perez bahawa De Gea akan menyertai mereka. Penjaga gol nombor satu United itu dilapor akan meninggalkan Old Trafford menerusi yuran pemindahan bernilai £25 juta. Bagaimanapun United dikatakan masih berusaha untuk mengekalkan De Gea di Old Trafford, termasuk menawarkan gaji sebanyak £200,000 seminggu. Jika De Gea menerimanya, dia bakal tampil sebagai penjaga gol yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah Liga Perdana Inggeris (EPL). Media England sebelum ini melaporkan bahawa teman wanita De Gea iaitu Edurne Garcia mempengaruhi penjaga gol berkenaan untuk meninggalkan Manchester berikutan faktor kedudukan bandar itu yang jauh dari kota London. Edurne selain itu turut mengutuk persekitaran Manchester sehingga dia dipanggil menghadiri program bersama pihak berkuasa tempatan.