BEKAS pemain tenis wanita No.2 dunia, Li Na berkongsi berita gembira menyambut kelahiran anak pertamanya pada Rabu. Selepas sembilan bulan mengumumkan persaraannya dalam dunia tenis, September tahun lalu berikutan dibelenggu kecederaan lutut, jaguh tenis dari China itu berkongsi gambar anak pertamanya yang diberi nama Alisa. Bekas juara Terbuka Perancis 2011 dan Terbuka Australia 2014 itu terpaksa meninggalkan kariernya setelah mengalami kecederaan serius. Li Na,33, berkongsi gambar bersama suaminya, Dennis dan anaknya Alisa yang dilahirkan pada 2.25 pagi Rabu di akaun rasmi Twitter syarikatnya, IMG Tennis. Li Na merupakan pemain tenis Asia yang pertama berjaya berada dalam kelompok sepuluh terbaik dunia. Dia menjuarai dua gelaran Grand Slam 2011 (Perancis) dan 2014 (Australia) sepanjang 15 tahun sebagai pemain tenis profesional. Li Na kini dalam menyiapkan filem biografi mengenai kisah hidupnya.