> Melengkapkan perpindahannya ke Manchester United pada Jumaat
> United melabur sebanyak £25 juta untuk membelinya dari PSV Eindhoven
> Bakat Depay pertama kali dikesan oleh pengurus United Louis van Gaal
> Depay pertama kali terpilih mewakili Belanda semasa Van Gaal menjadi pengurus pasukan kebangsaan
Dia muncul sebagai penjaring gol terbanyak Liga Belanda bersama PSV Eindhoven yang turut menjuarai musim 2014/15.
Sebaik sahaja diperkenalkan sebagai pemain baru United oleh Louis van Gaal, Depay menyifatkan mentornya itu sebagai pengurus terbaik dunia.
Pemain berusia 21 tahun itu turut dikejar oleh Liverpool, tetapi akhirnya memilih United kerana Van Gaal.
Van Gaal adalah orang yang bertanggungjawab meletakkannya sebagai pemain kebangsaan Belanda ketika pengurus itu mengepalai skuad kebangsaan sehingga berjaya membawa Belanda di tempat ketiga temasya Piala Dunia 2014 yang berlangsung di Brazil.
"Ini adalah hari yang sangat bermakna buat saya untuk merealisasikan impian bermain untuk kelab yang terhebat dan terbesar di dunia dan juga untuk berkhidmat sekali lagi di bawah bimbingan Louis van Gaal," kata Depay di hadapan wartawan pada Jumaat.
Depay bermain bersama PSV Eindhoven sejak berusia 12 tahun sehingga muncul penyerang utama kelab tersebut dan meraih anugerah kasut emas dengan menjaringkan 22 gol musim lalu.
Van Gaal pula mengakui yang dia hampir-hampir kehilangan peluang untuk mendapatkan khidmat Depay selepas Liverpool dan juara Perancis, PSG secara rasmi menawarkan bidaan mereka kepada PSV.