Sepanjang kariernya, Vettel telah memenangi kejuaraan dunia sebanyak empat kali bersama pasukan Red Bull tetapi membuat keputusan untuk menyertai Ferrari pada awal musim ini.
Keputusan yang dibuat itu dilihat sebagai pilihan yang tepat buat dirinya dan pasukan Ferrari.
Pelumba berusia 27 tahun itu berjaya mencapai keputusan podium semasa perlumbaan pertamanya bersama Ferrari di Australia sebelum mencapai empat keputusan podium termasuk kemenangannya semasa perlumbaan di Malaysia.
"Pada dasarnya, ia merupakan satu permulaan yang baik bagi kami dan saya amat gembira di mana saya berada sekarang.
"Ini adalah satu impian yang menjadi kenyataan bagi saya," kata Vettel.
Prestasi pelumba kelahiran Jerman pada musim ini meletakkannya di tangga ketiga dalam kedudukan pemandu dengan 108 mata, 43 mata di belakang pendahulu kejuaraan, Lewis Hamilton.
Walaupun gelaran Juara Dunia sukar dicapai, Vettel merasakan mampu mencapai lebih banyak kemenangan sebelum musim ini berakhir.
"Kami tahu ke mana arah yang ingin dituju dan gembira untuk memberikan segala-galanya kepada pasukan ini.
"Cabarannya adalah untuk membawa Ferrari kembali sebagai pasukan terbaik dan kami berkerja keras untuk mencapai matlamat tersebut.
"Kami melalui permulaan yang baik pada musim ini dan matlamatnya adalah untuk mencapai lebih banyak kemenangan," kata Vettel lagi.