PEMAIN Chile, Arturo Vidal di bawa ke hospital setelah mengalami kecederaan ringan selepas terlibat dalam kemalangan pada Selasa. Televisyen negara Chile menyiarkan kereta Ferrari milik Vidal yang rosak teruk dan menerangkan kemalangan tersebut berlaku di bahagian selatan Santiago. Ketua Polis tempatan, Ricardo Gonzalez berkata, bintang Juventus itu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol selepas mengalami kemalangan di pinggir bandar itu. "Dia ditahan kerana memandu ketika sedang mabuk. "Vidal hanya mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan itu," kata Ricardo. Menurut laporan, Ricardo tidak mahu mendedahkan kuantiti alkohol di dalam badan pemain berusia 28 tahun itu. Vidal, seperti rakan sepasukannya yang lain di beri pelepasan selepas perlawanan dengan pasukan Mexico yang berakhir dengan keputusan 3-3 pada kejohanan Copa Amerika pada Isnin. Vidal telah menggunakan media sosial Twitter untuk menerangkan apa yang berlaku ke atas dirinya. "Malangnya saya terlibat dengan kemalangan jalan raya. Nasib baik kami semua selamat dan tenang sekarang," katanya menerusi Twitter. Bekas pemain Bayer Leverkusen itu menjaringkan dua gol ketika menentang Mexico dan merupakan penjaring terbanyak kejohanan itu dengan tiga gol. Vidal menjaringkan gol tunggal semasa menentang Ecuador menerusi sepakan penalti. Chile akan bertemu Bolivia bagi perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada Jumaat. Sebelum ini Vidal pernah diusir dari kem latihan Chile pada 2011 kerana lewat ke sesi latihan dan didenda sebanyak 100,000 Euro oleh Juventus selepas didakwa terlibat dalam pergaduhan di luar kelab malam di Turin.