SINGAPURA: Kontinjen Malaysia mempamerkan prestasi luar biasa pada Sukan SEA 2015 di sini apabila berjaya mengutip keseluruhan 62 pingat emas, 58 perak dan 66 gangsa. Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata pencapaian 62 pingat emas itu berjaya mengatasi kutipan 40 emas pada edisi 2009 di Laos, 2011 di Indonesia (58 emas) dan 2013 di Myanmar dengan 43 pingat emas. Kejayaan kontinjen negara pada kali ini, katanya merupakan pencapaian kedua terbaik di luar Kuala Lumpur selepas edisi 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 pingat emas. "Saya ingin mengucapkan tahniah kepada kontinjen negara yang memenangi keseluruhan 186 pingat dan melepasi sasaran 56 peratus dari 329 acara yang disertai kontinjen negara (pada temasya kali ini)," kata Khairy pada sidang media mengenai prestasi atlet Malaysia pada Sukan SEA 2015 yang melabuhkan tirai pada Selasa. Beliau menyifatkan kejayaan kontinjen Malaysia pada kali ini merupakan 'lonjakan luar biasa' kerana 62 pingat emas itu disumbangkan menerusi 22 acara sukan berbanding kutipan 68 emas dari 19 acara sukan yang disertai pada edisi 2007. Dari 329 acara yang disertai Malaysia, Khairy berkata kontinjen negara berjaya melepasi sasaran dalam enam jenis sukan teras iaitu badminton dengan lapan pingat; berbasikal (lima), memanah (10), gimnastik (12), pelayaran (15) serta menembak dengan kutipan 11 pingat. Empat sukan teras lain pula menepati sasaran pingat ditetapkan iaitu tenpin boling dengan kutipan 10 pingat, hoki (dua pingat emas), sepak takraw (lima pingat) dan skuasy dengan kutipan enam pingat. Khairy turut memuji enam atlet muda negara yang mempamerkan aksi cemerlang pada temasya kali ini seperti penerjun elit lelaki negara, Ooi Tze Liang yang merangkul empat pingat emas; atlet boling lelaki Muhammad Rafiq Ismail (tiga emas dan satu perak) serta pemanah wanita Fatin Nur Fatehah Mat Salleh (tiga emas). Selain itu, atlet gimnastik artistik, Farah Ann Abdul Hadi dengan kutipan dua pingat emas, satu perak dan satu gangsa; pemain snuker Thor Chuan Leong (dua emas) dan pelumba berbasikal lebuh raya negara, Mohd Harrif Salleh yang meraih dua emas dalam acara kriterium dan perlumbaan lepas beramai-ramai lelaki. Khairy turut berbangga dengan pencapaian dua atlet lelaki negara yang berjaya memecahkan rekod Sukan SEA iaitu atlet lompat kijang, Muhammad Hakimi Ismail yang melakar rekod baharu 16.76 meter berbanding catatan 16.67m yang dicatat atlet Vietnam, Hung Nguyen Van pada edisi 2013 di Myanmar. Perenang elit lelaki, Welson Sim, 18, pula memecahkan rekod Sukan SEA dalam acara 400m gaya bebas menerusi catatan 3 minit 53.97 saat, sekali gus memadamkan rekod 3:53.99s yang dilakar seorang lagi perenang negara, Daniel Bego pada edisi 2009. "Kita juga harus berbangga dengan pencapaian pemain (muda) badminton wanita negara, Goh Jin Wei yang mara sehingga ke suku akhir perseorangan wanita pada penampilan sulung (di Sukan SEA) walaupun baharu berusia 15 tahun," kata Khairy. Tiga atlet negara turut memperbaharui rekod kebangsaan dalam acara renang iaitu Chui Lai Kwan dalam acara 50m gaya bebas wanita; Wong Fu Kang (50m dan 100m kuak dada lelaki) serta gandingan Welson Sim, Daniel Bego, Lim Ching Hwang dan Alwyn Tan dalam acara 4x100m gaya bebas lelaki. Khairy, bagaimanapun meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan dua sukan teras iaitu bola sepak dan tinju yang gagal menghadirkan sebarang pingat walaupun masing-masing diletakkan sasaran pingat. Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan kementerian akan mengkaji peruntukan kewangan untuk dua sukan berkenaan sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA 2017 yang bakal dihoskan oleh Malaysia. Kajian mengenai peruntukan kewangan itu, katanya turut meliputi beberapa sukan lain yang mempamerkan aksi hambar pada temasya sukan dwitahunan kali ke-28 itu. Sukan SEA yang bermula secara rasmi pada 5 Jun, melabuhkan tirai di Stadium Nasional, Hab Sukan Singapura Selasa malam.