TINDAKAN Manchester United membeli Memphis Depay dikatakan bakal menjadi pelaburan tidak berbaloi dan mampu membawa impak besar berikutan pendedahan mengenai masalah kesihatan pemain itu. Jurulatih Southampton, Ronald Koeman mendedahkan, pemain baru United yang dibeli dengan harga mahal itu tidak mampu bermain setiap minggu - ia turut didedahkan oleh kumpulan pencari bakat terkenal dari Belanda. Walaupun bakatnya tidak boleh dinafikan, namun pembelian Depay boleh menjadi seperti aksi Balotelli dan Raheem Sterling yang tidak menyerlah di Liverpool. United mendapatkan Depay pada harga £25 juta dari PSV Eindhoven sebelum Liga Perdana Inggeris (EPL) melabuhkan tirainya. Koeman yang pernah memimpin kelab itu ketika Depay masih remaja mendakwa," Saya berpendapat mereka (United) telah mengeluarkan terlalu banyak wang." "Hanya kerana mereka United, mereka telah mengeluarkan sebanyak £200 juta termasuk bagi mendapatkan pemain seperti Angel Di Maria, jumlah yang begitu besar. "Mereka membayar berjuta-juta untuk Di Maria yang tidak bermain, malah jika mereka mampu membayar jumlah gaji yang tinggi untuk pemain pinjaman (Radamel Falcao), oleh itu tidak menjadi masalah untuk membayar £25 juta lagi. "Apa yang saya pelajari ketika berada di England, pemain muda Belanda tidak mampu untuk melonjak dalam EPL. Mereka tidak mampu bermain pada setiap perlawanan. "Mereka juga tidak akan mampu untuk bermain sebanyak 38 perlawanan dalam satu musim. Pemain muda Belanda turut tidak mempunyai kemahiran berkomunikasi dengan baik. "Mereka tidak mampu bermain dalam satu pasukan dan akhirnya akan beraksi secara individu," tegasnya.