> Namanya seakan-akan pontianak popular Vlad Dracula > Pemain muda berusia 16 tahun Vlad Dragomir kini milik Arsenal > Sepertimana Dracula, Dragomir juga berasal dari Romania > Dilabel sebagai 'wonderkid' oleh Arsene Wenger > Vlad Dragomir tandatangani kontrak tiga tahun NAMANYA seakan-akan pontianak popular Vlad Dracula malah berasal dari negara yang sama iaitu Romania. Tetapi remaja berusia 16 tahun ini yang juga bernama Vlad tetapi Vlad Dragomir tidak menghisap darah sepertimana lagenda Dracula sebaliknya adalah bintang baru Arsenal selepas menandatangani kontrak tiga tahun pada Rabu. Pengurus Arsenal, Arsene Wenger menyifatkannya sebagai 'wonderkid' baru dunia bolasepak Eropah. Pemain midfield itu turut diburu oleh Inter Milan dan Monaco tetapi akhirnya memilih Arsenal yang memang dikenali sebagai sebuah institusi bolasepak yang memberi peluang kepada pemain-pemain muda untuk muncul dalam barisan kesebelasan utama. Ejen Dragomir, Catalin Sarmasan telah memuatnaik dalam laman Facebooknya foto Dragomir sedang menandatangani kontrak barunya bersama Arsenal walaupun pengumuman rasmi mengenai pembelian pemain muda itu belum dilakukan oleh Arsenal. Turut berada dalam foto itu ialah ketua perunding Arsenal, Dick Law - sekaligus mengesahkan tentang pembelian pemain tersebut. Dragomir sebelum ini bermain untuk kelab Romania, ACS Poli Timisoara. Dia juga adalah kapten pasukan kebangsaan Romania Bawah-16 Tahun. Portal berita Britain, Mail Online melaporkan yang Arsenal telah membayar yuran perpindahan sebanyak £100,000 kepada Poli Timisoara. Menurut Catalin Sarmasan, dia telah mengesyorkan Dragomir kepada Arsenal setahun yang lalu kerana hanya Arsenal yang mampu mengembangkan bakat pemain muda itu.