suria

Zulfahmi Ditimpa Malang Di GP Belanda

KUALA LUMPUR: Drive M7 SIC Racing ditimpa nasib malang di Grand Prix Belanda apabila pelumbanya Zulfahmi Khairuddin terlibat dengan nahas ketika sedang memecut, manakala Jakub Kornfeil pula menamatkan perlumbaan tanpa memperoleh sebarang mata dengan kedudukan di tempat ke-20.

Memulakan perlumbaan di petak ke-10, pelumba Malaysia itu mengukuhkan kedudukannya pada setiap pusingan, tetapi ketika tinggal hanya lima pusingan untuk berakhir perlumbaan, nasib malang sekali lagi menimpa Zulfahmi apabila Remy Gardner dari pasukan CIP melanggar roda belakangnya menyebabkan Zulfahmi tidak dapat meneruskan perlumbaan.

"Keadaan ketika memulakan perlumbaan, tidaklah begitu buruk dan saya berjaya naik beberapa tangga. Saya tahu saya ada peluang untuk terus menambah baik pencapaian, walaupun apabila Jakub dan beberapa penunggang lain mula mengasak,sebelum mereka akhirnya melanggar saya dari belakang.

"Saya tak dapat berbuat apa-apa lagi selepas itu; perlumbaan di sini sungguh mengecewakan saya kerana saya rasa saya telah memperbaiki perlumbaan saya dengan begitu ketara dan berasa sungguh positif," kata Zulfahmi dalam satu kenyataan.

Rakan sepasukannya dari Republik Czech juga memulakan perlumbaan dengan baik, memperbaiki empat kedudukan pada pusingan pembukaan dan kelihatan berada dalam form yang baik untuk menduduki tempat ke-15, tetapi apabila memasuki selekoh terakhir pada pusingan keenam, aksi seorang pelumba lain mengakibatkan hilang kawalan dan terbabas.

Selepas kembali bersaing dengan menduduki tempat kelapan, Kornfeil sekali lagi ditimpa masalah, terbabas ke luar trek untuk kali kedua dan selepas itu hanya berupaya menduduki tempat ke-20 hingga tamat perlumbaan.

"Ketika itu, saya berada dalam kumpulan kedua untuk merebut tempat kelapandan saya tahu saya mampu melakukannya. Tapi, sebelum selekoh terakhir, seorang pelumba memintas saya lalu membrek dan akibatnya, saya terpaksa menghala terus ke kawasan berumput.

"Saya hilang banyak mata di sini, tapi saya rasa ia bukan masalah besar kerana saya masih berada dalam kumpulan berkenaan dan masih ada 15 pusingan lagi untuk berlumba. Saya hanya beri tumpuan untuk menambah baik perlumbaan saya,tetapi apabila tiba di selekoh tiga, saya terbabas sekali lagi," kata Kornfeil.

Sementara itu, pengurus pasukan, Johan Stigefelt menyifatkan kejadian itusebagai amat malang kerana ia menyekat harapan pasukannya untuk mengumpul mata di Assen.

"Saya percaya, jika perkara itu tidak berlaku (nasib yang menimpa Kornfeil), kami mampu mencapai keputusan baik. Nasib Fahmi tidak baik hari ini, bermula dengan isu teknikal dalam perlumbaan pemanas enjin dan setelah memulakan perlumbaan dengan baik, dia terkeluar kerana tindakan seorang penunggang lain.

"Dia berada dalam keadaan baik sekarang dan ini adalah perkara paling penting," katanya.

Artikel Lain