suria

Abdul Rahman 'Berehat' Daripada Tugas Ketua Jurulatih

PETALING JAYA: Pemain-pemain bola sepak Terengganu kehilangan ketua jurulatihnya, Abdul Rahman Ibrahim.

"Abdul Rahman telah memohon cuti dan kami menerima permintaannya itu," jelas Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT)  dalam satu kenyataan di laman web persatuan pada Isnin.

PBSNT turut mengumumkan pembantu Abdul Rahman, Ahmad Yusof akan mengambil alih tugas mengendalikan pasukan dalam saingan Liga Super  bertemu Sarawak Sabtu ini.

Kedudukan pengendali berusia 69 tahun itu agak goyang apabila skuad Penyu gagal mencatat kemenangan dalam aksi liga sejak April lalu.

Mereka tewas kesemua enam perlawanan, dan berada di kedudukan kelapan liga daripada 12 pasukan dengan mengumpul 14 mata.

Pasukan ini juga turut tewas dalam aksi separuh akhir Piala FA bertemu Lions XII baru-baru ini.

Bekas jurulatih kebangsaan ini mengikat kontrak dengan Terengganu pada tahun 2014 dari kelab PKNS.

Ia merupakan kontrak ketiga di negeri kelahirannya itu.

Kali pertama Abdul Rahman bersama Terengganu selama setahun pada tahun 1983 sebelum kembali buat kali kedua tahun 1998 juga selama 12 bulan.

Biarpun gagal mencatat kejayaan dengan Terengganu, Abdul Rahman  berjaya melakar kejuaraan bersama skuad Selangor dengan menjuarai Piala FA 2001.

Pencapaian paling cemerlang ketika membimbing pasukan Perlis dengan menjuarai Liga Super 2005, Piala Malaysia 2006 dan Piala  Sumbangsih 2007.

Abdul Rahman menjadi jurulatih kelima yang kehilangan tugas dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Sebelum ini, jurulatih Kelantan George Boateng, B.Sathianathan (ATM), Bojan Hodak (JDT) dan Aminuddin Hussien dari pasukan Kuantan FA yang 'direhatkan' oleh majikan masing-masing.

Artikel Lain