suria

Beng Hee Bersara Daripada Pertandingan Jelajah Dunia PSA

Ong Beng Hee.

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy senior Malaysia, Ong Beng Hee, mengumumkan persaraannya daripada pertandingan Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA).

Pemain handalan berusia 35 tahun dari Pulau Pinang yang menduduki tangga ketujuh dalam senarai jelajah dunia ini, mengumumkan perkara itu melalui akaun twitternya.
 

"Ong Beng Hee telah mengabdikan dirinya kepada sukan skuasy sejak 20 tahun lepas dan kehilangannya daripada Jelajah Dunia PSA pasti akan amat dirasai.

"Seorang ahli sukan sejati di gelanggang dan seorang lelaki budiman di luar gelanggang, Beng Hee menjadi inspirasi kepada para pemain muda skuasy di seluruh dunia dan bagi pihak semua yang terlibat dengan skuasy profesional, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam apa jua usaha yang beliau ceburi selepas ini," kata ketua eksekutif PSA, Alex Gough, yang dipetik daripada laman sesawang PSA, psatour.com.

Juara PSA 15 kali, Beng Hee mula menjadi pemain profesional pada 1996 dan bermain dengan cemerlang dalam 202 kejohanan.

Di samping mencatat pencapaian cemerlang dalam Jelajah Dunia PSA, Beng Hee juga melakar beberapa kejayaan penting ketika mewakili Malaysia pada kejohanan antarabangsa, termasuk meraih dua pingat emas Sukan Asia dan satu pingat perak pada Sukan Komanwel 2002.

Menurut Beng Hee, dia akan terus melibatkan diri dengan sukan yang sangat dicintainya itu dengan menjadi jurulatih Persatuan Skuasy Malaysia (SRAM) dan berharap dia dapat membimbing generasi baharu pemain Malaysia menduduki tangga teratas di arena skuasy dunia.

Ong Beng Hee, skuasy

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keputusan Tenis Wimbledon

Artikel Lain