suria

Moto2: Azlan Shah Raih Petak Ke-12 Terbaik Musim Ini

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto2 negara, Azlan Shah Kamaruzaman akan memulakan MotoGP Grand Prix Indianapolis di Amerika Syarikat di petak ke-12 selepas mencatatkan keputusan terbaik dalam sesi kelayakan musim ini, Ahad.

Pelumba pasukan Idemitsu Honda Asia itu mencipta masa terbaik sepusingan dengan masa satu minit 37.157 saat untuk menduduki tempat keenam sebelum menjunam ke tangga ke-12 pada akhir sesi kelayakan.

Beliau akan memulakan perlumbaan 25 pusingan pada Isnin dari barisan keempat bersama-sama Dominique Aegerter daripada pasukan Technomag Racing Interwetten dan pelumba pasukan Dynavolt Intact GP, Sandro Cortese.

Rakan sepasukan Azlan Shah, pelumba Jepun, Takaaki Nakagami akan memulakan cabaran dari petak keenam selepas merekodkan catatan masa 1:37.022s.

"Kami akhirnya menemui pelarasan yang baik pada sesi latihan bebas ketiga khusus bahagian depan serta sistem brek motosikal. Ini membolehkan saya  mencatatkan masa sepusingan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan di sini.

"Saya amat gembira kerana kami akhirnya menemui pelarasan yang baik untuk maju. Esok, saya berharap untuk memulakan permulaan yang baik dan memberi saingan kepada kelompok utama. Jika boleh, mahu mengutip mata," kata pelumba berusia 30 tahun itu.

Selepas 10 perlumbaan musim ini, Azlan Shah hanya mampu mengutip satu matau ntuk menghuni tempat ke-24 dalam senarai kedudukan keseluruhan Moto2.

Pelumba Sepanyol, Alex Rins akan memulakan cabaran Moto2 di petak utama selepas merakamkan masa terpantas sepusingan 1:36.549s diikuti juara bertahan,  Tito Rabat (1:36.686s) dan Mika Kallio di petak ketiga dengan masa 1:36.865s.

Azlan Shah, Moto2, Indianapolis

Artikel Lain