KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 Malaysia, Zulfahmi Khairuddin melakukan kejutan dengan mempamerkan prestasi kelayakan terbaik musim ini untuk bermula di barisan hadapan Grand Prix Indianapolis. Ini merupakan julung kali penunggang pasukan Drive M7 SIC Racing Team itu bermula di barisan hadapan sejak berada di petak pertama Grand Prix Malaysia pada tahun 2012, satu lagi pencapaian besar selepas pusingan ke-10 musim ini. Pelumba berusia 23 tahun ini berada di tempat ke-10 pada sesi latihan di sebelah pagi sebelum melintasi garisan penamat di tempat ketiga dalam pusingan kelayakan dengan catatan satu minit 40.811 saat. "Saya rasa amat berkeyakinan menjelang sesi kelayakan dan apabila kami memulakan sesi, saya benar-benar berasa selesa menunggang dan saya berjaya bermula dengan pantas. Saya amat berterima kasih kepada pasukan, terutamanya kru yang bekerja keras, dan menaruh keyakinan terhadap saya," katanya menerusi kenyataan. Sementara itu, rakan sepasukan beliau, Jakob Kornfeil dari Republik Czech menamatkan sesi kelayakan di tempat ke-16 dengan catatan 1:41.474s. Pengurus pasukan Drive M7 SIC Racing Team Johan Stigefelt, yang terus bersikap positif sepanjang musim ini, benar-benar gembira dengan keputusan yang dicapai terutamanya oleh Zulfahmi.-- Bernama