suria

EPL: Man City Menang Besar Ke Atas West Brom Dalam Perlawanan Pertama

MANCHESTER City menang 3-0 ke atas West Bromwich Albion (WBA) dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pertamanya di The Hawthorns, awal pagi Selasa.

Yaya Toure menyumbangkan dua gol dalam perlawanan ini, ditambah satu gol lagi dari Vincent Kompany.

Bermain di tempat lawan, City mengasak sejak awal babak permainan, menghasilkan gol pertama pada minit kesembilan.

Umpan Jesus Navas diteruskan Toure dengan sebuah sepakan yang mengenai kaki Craig Dawson, sehingga berubah arah dan masuk ke gawang apabila Boaz Myhill gagal menepis bola.

Gol itu membuatkan City terus mengasak pasukan lawan dan hasilnya di minit 24, mereka berjaya mendapatkan gol kedua.

Bermain satu-dua dengan Wilfried Bony, Yaya Toure melepaskan sebuah sepakan melengkung yang tidak mampu ditepis Myhill.

West Brom, yang ketinggalan dua gol mempunyai peluang pada minit ke-28 menerusi tendangan bebas Rickie Lambert, tapi sepakan Lambert melambung. Babak pertama menyaksikan City mendahului 2-0.

Pada awal babak kedua, City kembali meraih peluang melalui sepakan Sterling dari sudut sempit tetapi Myhill dapat menghalangnya. Sementara itu, Lambert kembali membuat percubaan menerusi tendangan bebas, tapi tendangan bekas pemain Liverpool itu masih sedikit melambung.

Bagaimanapun West Brom tampil lebih ofensif pada babak kedua. Namun, kebangkitan WBA tanpa sebarang gol menjadikan pasukan itu terus buntu apabila City berjaya menjaringkan gol ketiga pada minit ke- 59, menerusi sepakan David Silva yang ditanduk Kompany membolosi gawang Myhill.

Kemenangan besar 3-0 City membawa pasukan ini ke puncak carta dengan memungut tiga mata, sama seperti enam pasukan lain. Namun, mereka mempunyai kelebihan menerusi jumlah gol.

Sementara itu, West Brom berada di posisi tercorot.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain