PUTRAJAYA: Bekas juara remaja dunia, Zulfadli Zulkifli disaran menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) supaya bakat pemain muda itu boleh digilap secara berterusan bagi menggantikan bekas pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei. Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata sudah sampai masa untuk pemain bebas itu memikirkan secara serius hala tuju kariernya supaya terus berkembang dengan sokongan sistem kejurulatihan yang lebih profesional. "Kalau hendak dikatakan pewaris Chong Wei, beliau antara orangnya. Saya harap pemain berusia 22 tahun itu dapat berada di bawah naungan BAM. Kalau di luar, bakatnya hanya 50 peratus, manakala bakinya melibatkan persiapan dari segi sains sukan, kecergasan, latihan dan segalanya," katanya ketika diminta mengulas mengenai prestasi pemain kelahiran Los Angeles itu pada penampilan sulung di Kejohanan Dunia yang sedang berlangsung di Jakarta. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd., di sini, Jumaat. Khairy berkata, biarpun bakat pemain itu boleh dipertingkatkan lagi menerusi program latihan yang lebih tersusun dan bimbingan jurulatih berpengalaman namun kementeriannya tidak dapat membantu pemain yang berada di luar sistem pembangunan sukan negara. "Walaupun kita lihat ada sedikit kelemahan pada beliau, kita tidak dapat membantu pemain ini kerana beliau menjadi pemain bebas. Saya mahu Zulfadli jadi sebahagian daripada sistem kebangsaan," katanya Khairy. Semalam, Zulfadli gagal ke suku akhir Kejohanan Dunia selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Wei Nam, 21-15 dan 21-9 pada aksi pusingan ketiga. BAM sebelum ini pernah cuba membawa masuk Zulfadli namun tidak berjaya, atas alasan bapa pemain itu, Zulkifli Sidek meletakkan banyak syarat jika BAM ingin 'melamar' anaknya itu. Berdasarkan ranking terkini Persekutuan Badminton Dunia (BWF), Zulfadli berada pada kedudukan ke-38 manakala Chong Wei di tangga ke-44.-- Bernama