LONDON: Penjaga gol baharu Arsenal, Petr Cech membuktikan beliau merupakan aset berharga dan bukan liabiliti kepada pasukan tersebut selepas membantu The Gunners terikat seri 0-0 dengan Liverpool di Stadium Emirates, awal pagi Selasa. Pembelian Cech dari Chelsea sebelum ini dipertikaikan apabila dia gagal menyelamatkan gawang Arsenal ketika tewas 0-2 kepada West Ham United pada aksi pembukaan tirai Liga Perdana Inggeris, 9 Ogos lalu. Arsenal bangkit memperbaiki permainan pada babak kedua tetapi gagal membolosi benteng pertahanan Liverpool. Liverpool berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tiga perlawanan setakat ini. Anak buah Brendan Rodgers itu menduduki tempat ketiga dengan mengutip tujuh mata, ketinggalan dua mata di belakang Manchester City. Arsenal pula berada di kedudukan sembilan dengan mengutip empat mata. Terdahulu, The Gunners hanya menang satu perlawanan dan tewas 0-2 kepada West Ham. "Apapbila anda memulakan perlawanan dengan kelab baharu, segalanya serba tidak menjadi. Anda perlu kembali bekerja dan bangkit, itu yang saya cuba lakukan. "Saya berada di kelab yang betul dan membantu pasukan menghadapi saat penuh mendebarkan pada babak pertama. Sukar untuk mempercayai kami menamatkan permainan dengan 0-0 selepas berdepan pelbagai cabaran," katanya.