DAVID Rudisha dari Kenya mengungguli acara 800 meter lelaki pada saingan akhir Kejohanan Olahraga Dunia di Beijing, Selasa malam. Rudisha mencatat 1:45.84s meninggalkan atlet dari Poland, Adam Kszczot 1:46.08, manakala Amel Tuka dari Bosnia-Herzegovina di tempat ketiga. Jaguh Olimpik London 2012 kembali menguasai balapan kejohanan dunia selepas tidak beraksi dua tahun lalu di Moscow kerana kecederaan. Rudisha menamatkan saingan lebih tenang selepas pencabar terdekat yang pernah menewaskannya sebanyak enam kali dalam perlumbaan lain sebelum ini, Nijel Amos terkeluar pada aksi separuh akhir Ahad lalu. Dalam pada itu, Rudisha tidak menyambut kejayaannya berseorangan apabila rakan senegaranya, Nicholas Bett turut bergelar juara dunia selepas bersaing sengit dalam acara 400 meter berpagar lelaki. Bett berjaya mencatat masa terpantas 47.79s meninggalkan pelari Rusia, Denis Kudryavtsev (48.05s), manakala atlet Bahamas, Jeffery Gibson di tempat ketiga dengan masa 48.17s.