GEORGE TOWN: Skuad muda Pulau Pinang mahu mengiringi kejayaan pasukan senior mereka layak ke bola sepak Liga Super musim depan, dengan menjulang Piala Presiden apabila menentang Kelantan dalam perlawanan akhir di Stadium Bandaraya, di sini Jumaat malam. Ketua jurulatih Pulau Pinang, S. Veloo mengharapkan anak buahnya mencipta kejutan, sekali gus mendapatkan piala yang kali terakhir mereka menangi pada 2004. "Kebetulan pasukan senior berjaya layak ke Liga Super musim depan dan saya harap ini adalah peluang terbaik untuk Pulau Pinang menjadi juara Piala Presiden tahun ini. "Persiapan rapi telah dilakukan dan saya percaya kami mampu muncul juara walaupun setiap tahun kita nampak remaja Kelantan memang bagus. Tapi kami juga mahu mengembalikan kegemilangan bola sepak Pulau Pinang," katanya dalam sidang akhbar di sini, Khamis. Sementara itu, jurulatih Kelantan, Mohd Nafuzi Mahamad Zain menganggap pasukannya sebagai 'underdog' kerana beraksi di tempat lawan. "Ketika mengambil alih pasukan ini pada pertengahan tahun, kami berjaya membaiki persembahan daripada tempat kelapan dan seterusnya ke final. Sudah pasti pemain turut berharap dapat menjulang piala malam esok sebagai pelengkap," katanya. Kelantan pernah muncul juara kejohanan ini sebanyak lima kali iaitu pada 1985, 1995, 2005, 2011 dan 2013 manakala Pulau Pinang sekali pada 2004.