BEIJING: Jaguh pecut Jamaica, Usain Bolt sekali lagi berjaya merangkul gelaran juara dunia untuk kali keempat berturut-turut dalam acara 200 meter pada Kejohanan Dunia Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF). Lima hari selepas menewaskan pelari Amerika Syarikat, Justin Gatlin dalam acara 100 meter, juara Olimpik dan pemegang rekod dunia berusia 29 tahun itu sekali lagi membuktikan kemampuannya sukar dicabar. Pada aksi cabaran 200 meter, Bolt sekali lagi mengecewakan Gatlin. Bolt mencatat masa 19.55 saat untuk memenangi acara tersebut, sekali gus mengekalkan penguasaannya di trek yang sama sejak kali terakhir melakukannya pada Sukan Olimpik Beijing pada 2008 yang menjadi detik awal namanya meniti kegemilangan. "Syabas Usain," kata Bolt kepada pemberita. Tambah beliau lagi: "Saya gembira, seperti yang saya katakan, saya akan melakukannya. Tidak syak lagi. Saya tidak benar-benar memberi tumpuan kepada faktor masa. Saya tahu saya bukan dalam keadaan untuk memecahkan rekod dunia." Kemenangan itu bermakna Bolt kini telah memenangi 11 daripada 12 gelaran individu Olimpik dan larian dunia sejak menempa nama pada temasya tersebut selain memenangi acara tersebut untuk empat kejohanan dunia iaitu di Berlin, Jerman (2009), Daegu, Korea Selatan (2011) dan Moscow, Rusia (2013). Bagaimanapun, usaha Bolt untuk memecahkan rekod dunia acara tersebut, 19.19s yang juga miliknya ketika melakukannya di Berlin masih belum kesampaian. Sementara itu, Gatlin yang sebelum ini menghadapi penggantungan selama enam tahun akibat penggunaan bahan terlarang meraih tempat kedua dengan catatan masa 19.74s, diikuti pelari Afrika Selatan, Anaso Jobodwana dengan catatan masa 19.87 saat.