ADA sesuatu yang tidak kena apabila pasukan bimbingan Louis van Gaal ini tewas kepada Swansea City untuk kali yang ketiga berturut-turut sejak musim lalu hingga kini. Jika tahun lalu, Manchester United tumpas kepada kelab kerdil ini pada hari pembukaan liga tetapi kali ini, mereka ditewaskan pada perlawanan keempat. Paling menakjubkan ialah, untuk tempoh 331 minit permainan, United tidak melepaskan walau sebutir gol pun sejak musim baru ini bermula tetapi mereka melepaskan dua gol dalam tempoh lima minit dalam perlawanan ini. Ini juga adalah perlawanan ke-50 Van Gaal sejak memimpin United dan dia masih tidak dapat menghapuskan badi atau petanda buruk ketika menentang Swansea. Andre Ayew dan Bafetimbi Gomis menjaringkan gol dalam tempoh dua minit selepas United mendahului lawan mereka sebaik sahaja separuh masa kedua bermula menerusi jaringan Juan Mata. Tetapi selepas itu, mereka mula goyah dengan serangan balas yang pantas Swansea. Wayne Rooney mempunyai tidak kurang dari tiga peluang terbuka di hadapan gol tetapi apa yang jelas ialah pergerakannya yang perlahan dan teragak-agak sekali lagi mencuri tumpuan dan perhatian ramai. Pelan kecemasan Van Gaal ialah dengan memasukkan Fellaini pada minit ke-77 tetapi dalam situasi panik dan cemas, United ini bukanlah United era Sir Alex Ferguson yang mampu membuat kejutan pada minit-minit terakhir dengan super-subnya. Dengan Van Gaal, taktik tersebut tidak menjadi. SWANSEA (Formasi: 4-2-3-1): Fabianski, Naughton, Fernandez, Williams, Taylor, Cork, Shelvey, Ayew, Sigurdsson, Routledge (Ki 58), Gomis. Simpanan tidak digunakan: Dyer, Nordfeldt, Tabanou, Eder, Rangel, Bartley. Gol: Ayew 61, Gomis 66 MAN UTD (Formasi: 4-2-3-1): Romero, Darmian, Smalling, Blind, Shaw, Schneiderlin, (Carrick 70), Schweinsteiger, Mata (Young 70), Herrera (Fellaini 77), Depay, Rooney. Simpanan Tidak Digunakan: Johnstone, Hernandez, Carrick, Young, Valencia, Fellaini, McNair Gol: Mata 48 Stadium: Liberty Stadium, Swansea.