BERLIN: Bayer Leverkusen berjaya menyempurnakan perpindahan penyerang Javier Hernandez dari Manchester United untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan pemain Korea Son Heung-min yang menyertai Tottenham Hotspur pada minggu lalu. "Perpindahan ini akan berupaya menyesuaikan skuad kami dengan cabaran lebih besar dalam tempoh beberapa bulan akan datang. "Selepas melepasi saingan peringkat kumpulan (Liga Juara-Juara Eropah) kami mahu mencipta sejarah bersama Javier Hernandez," kata Ketua Eksekutif Leverkusen, Michael Schade dalam satu kenyataan pada Isnin. Nilai perpindahan tersebut tidak didedahkan kepada media tetapi ia dipercayai bernilai 13 juta euro (RM61.21 juta). Hernandez, 27, menyertai United pada 2010 tetapi dipinjamkan ke Real Madrid pada musim lalu. Dia akan kekal bersama kelab Bundesliga itu sehingga 2018. Leverkusen menewaskan Lazio dengan agregat 3-1 untuk mara ke saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara. Kelab itu akan bertemu Barcelona, AS Roma dan BATE Borisov.