KUALA LUMPUR: Penguasaan ratu skuasy negara, Datuk Nicol David sebagai pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berakhir selepas pemain Mesir, Raneem El Welily memintasnya. Dalam ranking terbaru Persatuan Skuasy Wanita (WSA) yang dikeluarkan pada Selasa, Raneem menjadi pemain nombor satu dunia yang baharu selepas mengumpul 2,979 mata, lebih 126 mata daripada Nicol yang mengutip 2,853 mata. Mengulas perkembangan terbaru itu, Nicol berkata ia adalah sesuatu yang dijangka tetapi menegaskan dia akan berusaha lebih kuat untuk merampas semula posisi tersebut. "Kehilangan posisi itu bukanlah memeranjatkan. Ia sudah dijangka kerana Raneem menjuarai empat daripada enam kejohanan terakhir. "Sudah tentu ini bukan detik yang terbaik tetapi pada masa sama, ia memberikan saya dorongan tambahan untuk mendapatkan semula ranking pertama itu. "Selama sembilan tahun sebagai pemain nombor satu dunia, ia memberikan saya satu pengalaman bagi berdepan rintangan, dan kini cabarannya adalah untuk musim akan datang atau harapnya untuk beberapa tahun lagi," katanya menerusi video yang dimuat naik dalam laman Facebooknya. Pemain berusia 32 tahun dari Pulau Pinang itu mula menerajui ranking dunia dari Januari hingga Mac 2006 sebelum Vanessa Atkinson dari Belanda merampasnya untuk empat bulan sehingga Julai. Nicol menduduki posisi itu semula sejak Ogos 2006 sehingga dirampas Raneem bulan ini. Pemain berusia 26 tahun dari Mesir itu menjuarai tiga kejohanan utama tahun ini - Kejohanan J.P. Morgan, Terbuka Guggenheim Partners Windy City and Terbuka Alexandria. Begitupun, Nicol boleh merampas kembali posisi itu jika menjuarai Terbuka China yang akan membuka tirainya pada Khamis ini. Bagi pemain Malaysia yang lain dalam ranking dunia, Low Wee Wern kekal di kedudukan kesembilan walaupun tidak menyertai sebarang pertandingan sejak April lepas akibat kecederaan anterior cruciate ligament (ACL). Namun, Delia Arnold melonjak lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-12, posisi terbaik sepanjang kariernya.