ARSENE Wenger mempertahankan polisi pemindahan yang dibuatnya sehingga Rabu malam kerana tidak membawa masuk pemain baharu kecuali penjaga gol, Petr Cech. Pada jendela pemindahan musim ini, Arsenal hanya mendapatkan Cech dari Chelsea dengan nilai £11 juta. Berikutan itu, Arsenal muncul sebagai lima kelab terbaik dalam liga Eropah (Liga Perdana Inggeris, La Liga, Serie A, Bundesliga dan Ligue 1) yang tidak membeli pemain kecuali penjaga gol. Walaupun Barcelona dilarang membeli pemain pada jendela pemindahan kali ini, namun kelab itu tetap mengikat dua tonggak bertaraf bintang. Pemain baharu Barcelona itu ialah Ardan Turan dari Atletico Madrid yang bernilai £25 juta dan bintang Sevilla, Aleix Vidal (£12.5 juta). Kedua-dua pemain berkenaan akan hanya dibenarkan beraksi untuk Barcelona pada 2016 selepas sekatan oleh Fifa berakhir. Arsene Wenger yang disifatkan sebagai degil memberitahu," adakah saya gembira dengan pelaburan yang telah dilakukan? Ya, setiap masa." Jurulatih kelahiran Perancis itu berkata demikian ketika bersama bekas musuhnya dalam Liga Perdana Inggeris iaitu Alex Ferguson ketika menghadiri Forum Kejurulatihan Kelab Elit Eropah di Switzerland. "Saya beli Alexis Sanchez, saya beli Mesut Ozil, saya beli Cech dan tahun lalu saya beli Gabriel. "Masalah sekarang ialah untuk memilih pemain mana yang akan membuatkan kelab ini lebih baik, sebagai contoh insiden yang berlaku pada Selasa membuktikan segalanya," katanya. Insiden yang dikatakan oleh Wenger merujuk kepada tindakan United yang sanggup membeli pemain berusia 19 tahun iaitu, Anthony Martial yang bernilai £36 juta. Tindakan United dan Van Gaal membuat pelaburan besar mendapat kritikan pelbagai pihak kerana pemain yang dibeli baru berjinak dengan liga profesional yang lebih mencabar.