suria

UAE Belasah Malaysia 10-0 Di Abu Dhabi

KUALA LUMPUR: Serba tidak menjadi buat skuad Malaysia sehingga dibelasah 10-0 oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan ketiga Kumpulan A pusingan Kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi, Khamis malam.


Kekalahan tersebut menyaksikan Malaysia yang berada pada ranking ke-168 dunia, kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan A selepas kalah 6-0 kepada Palestin dan seri 1-1 menentang Timor Leste pada dua aksi terdahulu.

Manakala UAE yang menghuni tangga ke-70 ranking dunia mendominasi perlawanan pada babak pertama menerusi ledakan tujuh gol.

Pesta gol skuad Al-Abyad bermula seawal minit ke-15 menerusi Mohanad Salem sebelum Ali Makhbout menggandakan kedudukan, selang enam minit kemudian selepas menyambar tangkapan kurang kemas penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat sebelum tuan rumah menambah dua lagi gol menerusi Ahmed Khalil (minit ke-23) dan dua minit kemudian oleh Habib Al-Fardan.

Kemasukan penjaga gol Perak, Zamir Selamat selepas itu nyata gagal membendung pintu gol negara daripada terus dibolosi menerusi sentuhan penyudah Ahmed Khalil pada minit ke-29, Ali Makhbout (m33) dan Mohamed Gharib (m39).

Kedudukan 7-0 itu kekal sehingga berakhirnya babak pertama.

Bersambung separuh masa kedua, skuad kendalian Dollah Salleh itu cuba melakukan serangan balas sekali sekala namun masih gagal menembusi kekebalan benteng pertahanan UAE yang diketuai Mohanad Salem.

Ahmed Khalil mencipta hatrik selepas menjaringkan gol ketiga pada minit ke-70 untuk menewaskan penjaga gol gantian kedua Malaysia, Mohd Khairul Azhan Mohd Khalid.

Ali Makhbout turut mencipta hatrik pada minit ke-75 menerusi percubaan menarik dari luar kotak penalti sebelum Ahmed Khalil mengesahkan kemenangan besar UAE menerusi gol ke-10, selang dua minit kemudian dan keputusan berkenaan kekal sehingga tamat perlawan.

Malaysia dijadualkan menentang Arab Saudi pada aksi keempat kumpulan di Stadium Shah Alam pada 8 September  ini.

Artikel Sebelum

Artikel Lain