suria

Pemindahan De Gea: Presiden Real Madrid Salahkan Man United

PERMUSUHAN antara Real Madrid dengan Manchester United berikutan kegagalan pemindahan David de Gea semakin tegang apabila presiden kelab Sepanyol itu menyalahkan Ketua Eksekutif United, Ed Woodward sebagai seorang yang tidak berpengalaman dalam urusan pembelian dan perpindahan pemain.

Bercakap kepada saluran radio Sepanyol, Florentino Perez berkata; "Apa yang saya fikirkan ialah mereka tidak mempunyai pengalaman. Ia pernah berlaku tahun lalu terhadap Fabio Coentrao dan Ander Herrera. Mereka adalah pasukan baru yang tiada pengalaman."

"Kami juga pernah terlepas beberapa pemain sebelum ini, Franck Ribery dan Patrick Vieira sebagai contoh, tetapi apa yang mengejutkan kami terdapat pihak yang ingin lakukan pemindahan dan ia berlaku 12 jam sebelum tempoh sebenar ditutup.

"Kami pernah bekerjasama dengan mereka sebelum ini, dengan Peter Kenyon, David Gil serta Alex Ferguson tanpa sebarang masalah besar.

"Kami masih mempunyai hubungan yang baik dengan Manchester United tetapi kali ini sama seperti apa yang pernah berlaku terhadap Coentrao dan Herrera. Kami harap mereka akan belajar daripada pengalaman ini," katanya.

Menurut Perez, Real Madrid hanya dihubungi oleh ejen De Gea, Jorge Mendes pada waktu tengah hari terakhir sebelum pintu perpindahan ditutup.

Katanya, dalam tempoh setengah jam sahaja kedua-dua belah pihak telah bersetuju dengan pembelian dan penjualan De Gea tetapi United mengambil masa lapan jam untuk menghantar balik salinan kontrak yang dihantar kepada mereka pada jam 1.30 tengah hari itu.

Itulah yang menjadi punca mengapa De Gea gagal didaftarkan sebagai pemain Real.

Penjaga gol Sepanyol itu perlu menunggu sehingga pintu perpindahan dibuka semula pada Januari untuk meneruskan hajatnya menyertai Real.

Jelas Perez lagi, Real Madrid tidak membuat bidaan rasmi terhadap De Gea selepas United menegaskan yang mereka tidak bersedia melepaskan pemain itu musim ini.



Real Madrid, Manchester United

Artikel Lain