LEICESTER City meneruskan rekodnya tanpa kalah pada musim ini apabila menewaskan Aston Villa dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris di Stadium King Power di Leicester, England pada awal pagi Isnin. Leicester City berjaya menamatkan perlawanan dengan 3-2 ke atas Aston Villa walaupun pada mulanya kelab itu ketinggalan dua mata pada pertengahan separuh masa kedua. Aston Villa sempat mengungguli perlawanan menerusi jaringan Jack Grealish pada minit ke-39 dan Carles Gil (minit ke-63). Bagaimanapun, Leicester City kembali berjuang untuk memperbetulkan keadaan. Pada minit ke-72, Leicester City berhasil memperkecilkan ketinggalannya menerusi tandukan Ritchie de Laet dengan memanfaatkan umpan tendangan penjuru dari Riyad Mahrez. Hanya berselang 10 minit, Leicester City berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Jamie Vardy dengan memaksimumkan umpan silang mendatar daripada Daniel Drinkwater. Stadium King Power bersorak apabila pemain pilihan mereka, Nathan Dyer meraihkan gol kemenangan pada minit ke-89. Kemenangan tersebut membuatkan Leicester City berjaya memintas Manchester United menduduki tempat kedua dalam Liga Perdana Inggeris dengan 11 mata. Dengan tambahan tiga gol itu juga membuatkan kelab itu menyamai jumlah 11 gol dengan Manchester City yang berada di tempat teratas. Namun perbezaannya ialah gawang mereka sudah tujuh kali dibolosi pihak lawan sedangkan ia masih belum berlaku kepada Manchester City.