WEST Ham naik ke tangga kelima kedudukan Liga Perdana Inggeris selepas menundukkan Newcastle 2-0, awal pagi Selasa. Dua gol tersebut dijaringkan Dimitri Payet seawal minit kesembilan dan 48. Kekalahan tersebut turut meletakkan Newcastle di tangga tercorot liga dengan hanya berbekalkan dua mata. Dengan kekalahan itu juga, pengurus Newcastle, Steve McClaren masih belum berjaya membawa sebarang kemenangan sejak mengambil alih kerusi panas di St James Park pada musim panas ini. Sementara itu, pengurus West Ham menyifatkan pasukannya layak mengutip tiga mata penuh pada perlawanan tersebut. "Kami bermula dengan baik dan menjaringkan gol tepat pada waktunya. "Newcastle memberikan sedikit tekanan kepada kami tapi benteng pertahanan kami tetap kukuh. "Ia hanya bukti kecil kami melakukan perkara sepatutnya pada tempoh perpindahan pemain. Payet adalah pemain yang saya mahukan sejak dari awal lagi," katanya. McClaren kini menaruh harapan tinggi terhadap Newcastle untuk mencipta kemenangan ketika bertemu Watford di gelanggang sendiri, Sabtu ini. Tugas West Ham pula pastinya lebih getir apabila mereka berkunjung ke Etihad Stadium untuk bertemu Manchester City, Sabtu ini. City berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan setakat ini dan menduduki tangga teratas liga.