AKHIRNYA, Pengerusi Tottenham Hotspurs Daniel Levy berkorban dengan membayar £5 Juta kepada Emmanuel Adebayor asalkan pemain itu sanggup meninggalkan mereka. Pemain Togoles itu enggan membatalkan kontraknya yang bernilai £100,000 seminggu atau £5 Juta setahun kerana tidak ada kelab yang bersedia membayarnya jumlah yang sama jika dia berpindah. Setakat ini hanya Aston Villa sahaja yang sanggup menerima pemain itu tetapi dengan gaji yang jauh lebih rendah. Adebayor enggan menerima tawaran itu dan membuat keputusan untuk terus kekal bersama Spurs walaupun dia menyedari hakikat yang dia tidak akan bermain lagi untuk skuad utama Spurs. Dia kemudiannya digugurkan dari skuad utama pasukan dari London itu tetapi akhirnya menjadi duri dalam daging kerana kehadirannya di padang latihan walaupun berlatih bersama skuad Bawah-21 Tahun, telah menjadi satu 'gangguan' kepada anggota skuad yang lain. Misalnya setiap kali dia lalu di hadapan rakan-rakan sepasukannya yang lain dia akan berkata "Hidup ini sangat bagus kerana anda dibayar dengan harga yang mahal untuk tidak bermain." Levy yang tidak tahan dengan gangguan sampingan yang dilakukan oleh Adebayor telah memanggil pemain itu dan bertanya, "Jika saya boleh bantu, kelab manakah yahg kamu minat untuk berunding dan berpindah." Adebayor jawab; "Real Madrid atau Chelsea..." sekaligus menyakitkan hati Levy kerana dia tahu mana ada kelab ternama yang mahu membeli pemain yang sudah berusia 31 tahun. Akhirnya Levy menyediakan satu dokumen perjanjian iaitu penamatan kontrak Adebayor dengan Spurs bersedia memenuhi obligasi mereka membayarnya gaji penuh selama setahun. Bagaimanapun dengan syarat Adebayor tidak boleh mendedahkan isi kandungan penamatan kontrak itu dan untuk memastikan dia mematuhi syarat berkenaan, gajinya sebanyak £5 Juta itu akan dibayar secara berperingkat dalam tempoh setahun. Adebayor akhirnya bersetuju untuk memenuhi kehendak Spurs dan menandatanganinya.