PASUKAN Lotus memberi jaminan akan mengekalkan Pastor Maldonado pada aksi Formula Satu (F1) musim depan. Maldonado,30, ditawarkan kontrak musim ketiganya bersama Lotus dan mengakui ia sesuatu yang positif mengenai masa depannya. "Saya gembira dengan keputusan pasukan untuk mengekalkan status saya sebagai pelumba mereka pada musim 2016. "Walaupun banyak spekulasi timbul berkaitan dengan status musim depan, saya ketepikan perkara itu dan akan memberi fokus terhadap tugas sekarang, lebih-lebih lagi selepas menerima berita baik ini. "Musim ini menyaksikan saingan sengit namun kualiti pasukan di Enstone amat jelas. "Mereka adalah sebahagian daripada keluarga saya dan akan cuba memberi keputusan yang lebih baik pada musim depan," jelas pelumba kelahiran Venezuela ini.