suria

Batal Atau Tunda Kejohanan Jika IPU Tidak Sihat - Khairy

Khairy Jamaluddin.

PUTRAJAYA: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menasihatkan supaya semua aktiviti dan acara sukan dibatal atau ditangguhkan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat. 

"Saya berharap penganjur aktiviti sukan mengambil langkah proaktif itu demi kesihatan pemain, peserta dan penonton. Keselamatan mereka lebih penting daripada kita (penganjur) menepati jadual.

"Kalau menepati jadual itu membawa risiko kepada pemain, peserta dan sebagainya, saya rasa ini adalah satu perkara yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada Kontinjen Sukan Orang Pekak di Galeri Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini, Isnin.

Institut Sukan Negara (ISN) sebelum ini menyarankan persatuan sukan dan penganjur kejohanan supaya menunda latihan dan kejohanan jika paras IPU melepasi 100 selain mengelak aktiviti luar pada waktu tengah hari dan petang apabila tahap pencemaran udara ketika itu adalah paling tinggi.

"Kebanyakan atlet akan bernafas melalui mulut ketika sesi latihan dan udara yang disedut umumnya memintas saluran hidung yang biasanya menapis zarah pencemaran udara. 

"Masalah kesihatan yang melibatkan pencemaran udara terdiri daripada kerosakan pada saluran pernafasan paru-paru, peningkatan risiko pencetusan asma, risiko serangan jantung dan strok serta boleh membawa kematian dalam kes-kes yang ekstrem," menurut kenyataan ISN pada 11 September.

ISN turut menyarankan atlet dan pengamal sukan supaya menjalani latihan di kawasan tertutup dan meminum air dengan banyak, selain mempertimbangkan latihan di luar negara buat sementara waktu sekiranya benar-benar memerlukan latihan luar seperti bola sepak, hoki dan kapal layar. - Bernama

jerebu, Khairy Jamaluddin

Artikel Lain