suria

Empat Pemain Frenz United Dipanggil Wakili Negara

KUALA LUMPUR: Empat pemain Frenz United antara yang dipanggil oleh Pengendali skuad Bawah 19 Tahun (B-19), Hassan Sazali Waras bagi mengharungi saingan Kelayakan Kejuaraan B-19 AFC 2016 di Jiangsu, China bermula 2 hingga 6 Oktober ini.

Selain mereka iaitu Muhammad Izaffiq Ruzi, Mohammad Amirul Muhamad, Muhammad Danial Amier Norhisham dan Hassan Sazali turut memanggil seorang pemain Real Mulia FC, Al Barilan Shahul Hameed serta pemain tengah T-Team, Muhammad Safawi Rasid.

Manakala selebihnya terdiri daripada pemain skuad Harimau Muda C.

Kekecewaan gagal mara ke final Kejohanan Bola Sepak AFF B-19 Tahun di Laos awal bulan ini tidak menjadi alasan buat Hassan Sazali  untuk menyediakan resepi baharu berdepan pasukan yang lebih mencabar.

"Pada Kejuaraan B-19 AFF 2015, kita dapati kelemahan berlaku di barisan pertahanan dan sebab itu saya membawa masuk beberapa pemain pertahanan baru selain kehadiran Mohd Aizat dari Frenz United yang mampu memberi saya pilihan jika penyerang utama mengalami kecederaan.

"Kogileswaran dan Thipanraj mengalami kecederaan ketika perlawanan persahabatan pada Isnin malam.

"Kogileswaran kena pada kecederaan lamanya di bahagian buku lali manakala Thipanraj disahkan mengalami kecederaan hamstring selepas pemeriksaan doktor.

"Jadi memandangkan tempoh ketiga-tiga perlawanan berlangsung adalah selang dua hari dan perlawanan pertama bertemu China adalah pada Jumaat ini, saya tidak mahu mengambil risiko dan hanya membawa pemain yang benar-benar cergas dan bebas kecederaan," jelasnya yang berangkat ke China pada Selasa.

Tambah Hassan Sazali, R Dinesh kembali dalam pasukan selepas dia tidak menyertai Kejuaraan B-19 AFF 2015, bulan lalu akibat kecederaan.

Skuad negara bakal membuka tirai perlawanan bertemu tuan rumah China Jumaat ini bagi saingan Kumpulan I sebelum berdepan dengan Korea Utara (4 Oktober), dan Macau pada 6 Oktober ini.


Frenz United, China

Artikel Lain